KUALA LUMPUR: Di sebalik penganjuran Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tegas menafikan bahawa Asean lebih memilih untuk condong ke arah China.
Datuk Anwar berkata seperti yang dilaporkan sebelum ini, Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025, telah menerima konsensus daripada negara anggota untuk mendapatkan sokongan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bagi tujuan penganjuran Sidang Puncak Khas Asean-Amerika dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Datuk Anwar berkata beliau telah menyatakan sendiri kepada pemimpin Asean, berdasarkan cadangan Menteri Luar masing-masing untuk terus mendekati kededua blok ekonomi dunia, Amerika dan China, dan juga blok-blok ekonomi lain.
“Susulan itu saya telah menulis surat kepada Presiden Trump, mengatakan bahawa Menteri-menteri Luar dan Pemimpin Asean bersetuju untuk meneruskan dengan cadangan Sidang Puncak Asean-Amerika. Kita pun sudah mengadakan Sidang Puncak Asean-GCC-China.
“Jadi saya tidak bersetuju dengan pandangan (Asean condong ke arah China). Maksud saya jika esok saya terima surat persetujuan daripada Presiden Trump, maka kita akan mengadakannya pada Jun atau tidak jauh dari Jun. Jika beberapa bulan seterusnya, pun tidak ada masalah.
“Mengapa? Kerana pendirian kita adalah pemusatan. Di mana fokusnya? Kebajikan rakyat, hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan. Adakah itu bermaksud bekerja dengan China? Ya. Amerika Syarikat? Ya,” katanya pada sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur, lapor Astro Awani.
Datuk Anwar dalam pada itu memaklumkan isu Laut China Selatan dibincangkan dalam suasana yang positif antara negara-negara Asean yang terbabit.
Beliau berkata pemimpin Asean, termasuk China dan Filipina bertukar pandangan mengenai isu itu dalam aspek kod tata laku, dan adakala perbincangan itu dibuat dengan beliau sendiri.
Sementara itu, Pemimpin Asean mengesahkan komitmen kukuh untuk menegakkan keamanan, kestabilan, serta kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan, di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ketegangan maritim serantau.
Menerusi Kenyataan Pengerusi Asean yang dikeluarkan selepas berakhirnya Sidang Puncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur pada 27 Mei, pemimpin Asean menegaskan keperluan untuk mengekalkan peraturan serantau berasaskan undang-undang.
Kenyataan itu turut menggesa semua pihak supaya melaksanakan kawalan maksimum dan mengelakkan sebarang aktiviti yang boleh memburukkan ancaman terhadap keamanan dan kestabilan di perairan yang menjadi pertikaian itu.
“Kami menegaskan sekali lagi kepentingan mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan, kestabilan dan kebebasan pelayaran serta penerbangan di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg