Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Asean, GCC boleh perkukuh kerjasama, teroka peluang baru

Tiga bidang kerjasama berpotensi adalah perdagangan dan pelaburan, peralihan tenaga serta ekonomi digital
May 27, 2025 | 7:07 PM
sidang puncak asean, 2025, asean, majlis kerjasama teluk, gcc
(Dari kiri) Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Encik Faisal Thani Al Thani; Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong; Timbalan Perdana Menteri bagi Hubungan dan Ehwal Antarabangsa Oman, Encik Sayyid Asa’ad Tariq Al Said; Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra; Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud; dan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, di Sidang Puncak Asean-GCC-China di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 27 Mei. - Foto EPA-EFE

Asean dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) harus memperkukuh hubungannya bersama, terutamanya dalam dunia yang bergelora ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, sambil menambah bahawa dua rantau adalah dinamik dan mempunyai banyak peluang kerjasama.

Berucap di Sidang Puncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang kedua di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 27 Mei, Encik Wong berkata terdapat tiga bidang di mana dua blok rantau itu boleh bekerjasama iaitu perdagangan dan pelaburan, peralihan tenaga dan ekonomi digital.

“Asean mempunyai gabungan populasi melebihi 670 juta orang dan kami bersedia menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

“GCC sedang pesat berubah dan menjadi pemain global yang penting. Oleh itu, kedua-dua rantau kita harus melakukan lebih banyak lagi bersama,” kata beliau.

Encik Wong menambah bahawa hubungan dua rantau itu dipertingkat oleh Rangka Kerja Kerjasama 2023 dan sidang puncak yang diadakan itu boleh terus membangunkannya untuk memupuk hubungan lebih rapat.

GCC dianggotai enam negara iaitu Arab Saudi, Kuwait, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Oman.

Sidang Puncak Asean-GCC yang pertama berlangsung pada 2023 di Riyadh, Arab Saudi, di mana kedua-dua blok rantau itu melakarkan agenda lima tahun mereka dan memutuskan untuk mengadakan sidang puncak setiap dua tahun, diadakan secara bergilir-gilir antara rantau GCC dengan Asean.

Singapura merupakan negara bukan Timur Tengah yang pertama untuk menjalin Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan GCC, dengan perbincangan untuk mempertingkat perjanjian itu kini sedang dijalankan, kata Encik Wong.

FTA GCC-Singapura itu boleh menjadi pencari laluan kepada FTA Asean-GCC yang lebih luas, dengan perjanjian sedemikian akan mengurangkan tarif, memperkukuh rantaian bekalan, menggalakkan jaminan makanan dan mempertingkat aliran pelaburan antara kedua-dua rantau itu, tambah beliau.

“Oleh itu, saya berharap kita boleh menggandakan usaha untuk mempercepatkan kajian ini, memeriksa kemungkinan mengadakan FTA ini dan juga mempermudahkan hubungan lebih rapat antara masyarakat perniagaan kita,” kata beliau.

Usaha kerjasama juga boleh diteroka antara GCC dengan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP).

Ini akan menghubungkan Timur Tengah dengan Asia Pasifik dari segi ekonomi.

Bersama, RCEP dan GCC mewakili sekitar 35 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia – sesuatu yang penting, kata Encik Wong.

“Mempunyai FTA antara RCEP dengan GCC boleh menjadi sangat rumit, tetapi jika kita boleh mewujudkan kerjasama rasmi antara kedua-dua entiti itu, ini boleh memudahkan lebih banyak aliran perdagangan dan pelaburan, dan membantu untuk menegakkan prinsip utama sistem perdagangan berasaskan peraturan kita,” kata beliau.

Sedang permintaan Asean bagi tenaga bersih meningkat, akan terdapat juga peluang bagi kolaborasi dengan GCC dalam kerjasama tenaga.

Encik Wong mengalu-alukan sokongan GCC bagi Grid Kuasa Asean, sama ada dengan melabur dan membiayai prasarana grid kuasa baru itu atau dengan berkongsi pengetahuan mengenai pengaliran tenaga rentas sempadan.

Dalam ekonomi digital pula, Encik Wong berkata Asean akan memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja dalam bidang itu tahun ini (2025), yang akan menyediakan asas bagi blok serantau itu mendekati rakan kongsi luar, seperti dengan membentuk kerjasama digital.

“Oleh itu, kita boleh mempertimbangkan sebuah kerjasama digital dengan GCC.

“Dan kita mengalu-alukan kerjasama lanjut dengan GCC mengenai penggerak ekonomi digital, termasuk dalam keselamatan siber, tadbir urus data dan aliran data rentas sempadan,” kata beliau.

Sidang Puncak Asean-GCC kedua itu dan juga Sidang Puncak Asean-GCC-China, adalah sidang puncak berkaitan yang diadakan sempena Sidang Puncak Asean ke-46 di Kuala Lumpur, Malaysia, dari 26 hingga 27 Mei.

“Asean mempunyai gabungan populasi melebihi 670 juta orang dan kami bersedia menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030. GCC sedang pesat berubah dan menjadi pemain global yang penting. Oleh itu, kedua-dua rantau kita harus melakukan lebih banyak lagi bersama.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg