SUNGAI PETANI (Kedah): Sebuah asrama di Maahad Tahfiz An Nur di Merbok, dekat sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi 6 Januari.
Difahamkan, asrama itu menempatkan pelajar perempuan, namun mereka dapat menyelamatkan diri ketika kejadian.
Kebakaran itu berlaku kira-kira seminggu selepas sebuah asrama maahad tahfiz terbakar di Batu Pahat, Johor.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Encik Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 4.19 pagi.
Sepasukan 12 anggota dari BBP Sungai Petani diketuai Pegawai Bomba Kanan Mohd Rahimi Abu Hassan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Operasi turut dibantu sepasukan enam anggota daripada BBP Aman Jaya dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bedong.
“Kebakaran menyebabkan bangunan itu musnah 80 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan berada dalam maahad tahfiz berkenaan,” kata Encik Ismail, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menambah, kebakaran dapat dikawal pada 4.49 pagi. Punca dan kerugian masih dalam siasatan.
Pengerusi Masjid Al Busyra, Merbok, Encik Firdaus Firabib yang memuat naik status di Facebook berkata semua pelajar perempuan sempat menyelamatkan diri dan kini berlindung dalam masjid dalam keadaan sehelai sepinggang.
Sebelum ini, sebuah asrama yang menempatkan pelajar tahfiz terbakar di Kampung Parit Bingan, Parit Raja, Batu Pahat, pada pagi 31 Disember.
Kebakaran itu menyebabkan bangunan dua tingkat itu musnah sama sekali, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Api berjaya dipadamkan kira-kira dua jam selepas ketibaan pasukan bomba. Tiada mangsa terbabit dalam kejadian itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg