JOHOR BAHRU: AT Honeycomb Engineering yang ditubuhkan di Singapura pada 2024, akan terus menjalankan kegiatan penyelidikan, pembangunan dan kejuruteraan di Singapura.

Dalam masa sama, mereka telah membuka kilang menghasilkan bahan logam berongga menyerupai sarang lebah bagi kegunaan dalam enjin pesawat dan turbin gas di Iskandar Puteri, Johor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, pembahagian kerja itu mencerminkan kerjasama yang ingin dipupuk menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“Matlamat kami adalah untuk mewujudkan ekonomi serantau yang lebih bersepadu dan berdaya saing, supaya syarikat dapat memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi di kedua-dua belah sempadan,” katanya dalam kenyataan pada 15 November sempena pembukaan rasmi kilang itu.

Untuk menghasilkan bahan berongga itu, jalur logam dibentuk dan dicantumkan.

Bahan tersebut boleh digunakan sebagai pengedap serta membantu mengawal jarak antara bahagian enjin.

Perubahan kecil pada suhu semasa pembuatan boleh menjejas mutu bahagian yang dihasilkan.

Menurut Encik Lee, Singapura sudah menjadi pusat serantau bagi penyelenggaraan pesawat, khidmat berkaitan enjin dan kejuruteraan aeroangkasa.

“Johor boleh melengkapinya dengan membekalkan bahan khusus dan bahagian pesawat berketepatan tinggi.

“Kedudukan Johor berhampiran Lapangan Terbang Changi turut memberi kelebihan dari segi penghantaran dan perdagangan,” katanya.

Di Iskandar Puteri, GKN Aerospace sudah membaiki bahagian enjin pesawat. Di Senai pula, Asia Digital Engineering sedang membangunkan keupayaan menyelenggara, membaiki dan membaik pulih pesawat.

Di kilang AT Honeycomb, pakar berpengalaman dari China akan memberi latihan amali kepada pekerja Malaysia serta membantu syarikat itu memperbaik kaedah pengeluaran.

“Kami mahu juruteknik Malaysia memahami sains dan kejuruteraan di sebalik proses pembuatan yang mereka kendalikan,” kata Encik Lee.

Antara jawatan yang ditawarkan oleh AT Honeycomb di Johor ialah juruteknik rawatan haba dan jurutera kawalan mutu.

Syarikat itu turut mencari tenaga mahir bagi urusan rantaian bekalan dan membuka peluang kepada lulusan latihan kemahiran dalam bidang berkaitan.

Encik Lee menggalakkan syarikat itu meneroka peluang kerjasama dengan universiti, politeknik dan pusat latihan kemahiran tempatan.

Beliau menyebut Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sebagai antara institusi yang boleh membantu melatih tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan.

Beliau berharap anak muda Johor berpeluang membina kerjaya sebagai jurutera aeroangkasa atau pakar pembuatan berketepatan tinggi tanpa perlu meninggalkan negeri itu.