Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ayah Menteri Besar sementara Kedah tetap bersemangat tunai kewajipan

Aug 12, 2023 | 4:37 PM
MASIH BERSEMANGAT MENGUNDI: Encik Mohd Nor (berkerusi roda), yang datang bersama anaknya, Encik Sobri, tetap bersemangat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, dekat Sik, pada Sabtu.
MASIH BERSEMANGAT MENGUNDI: Encik Mohd Nor (berkerusi roda), yang datang bersama anaknya, Encik Sobri, tetap bersemangat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, dekat Sik, pada Sabtu. - Foto BM oleh ISMAIL ALI

Walaupun sudah berusia 82 tahun, berkerusi roda dan terpaksa dibantu anaknya, Encik Mohd Nor Taib tetap bersemangat menunaikan kewajipan membuang undi untuk sama-sama memilih kerajaan negeri baru di Kedah.

Encik Mohd Nor ialah ayah Menteri Besar sementara Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau antara rakyat Kedah yang datang awal mengundi di pusat membuang undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, yang kebetulan disandang anaknya itu, di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya, dekat Sik.

“Dah biasalah (mengundi)... sejak pembentukan negara dulu,” kata Encik Mohd Nor ringkas apabila ditanya sejak bila beliau mula mengundi.

Beliau yang sudah tidak ingat sejak bila beliau keluar mengundi, dibantu seorang lagi anaknya, abang Datuk Sanusi, iaitu Encik Sobri Mohd Nor, 54 tahun, seorang guru.

Seorang lagi abangnya, Encik Sabudin Mohd Nor, turut berada di pusat pengundian yang sama sejak sebelum 10 pagi dan kelihatan membantu orang ramai yang datang mengundi.

Malah, bukan ayah dan kededua abang Datuk Sanusi sahaja yang datang mengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Beris Jaya.

Keluarga, mak cik bahkan penduduk sekampung mereka di Kampung Sungai Pauh, Sik, turut membuang undi dan kelihatan menyambut ketibaan menteri besar sementara Kedah itu, yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).

“Kami memang penyokong kuat beliau (Datuk Sanusi),” kata Encik Sabudin, anak kedua dalam keluarga 13 beradik mereka.

Datuk Sanusi, yang dilantik sebagai Menteri Besar sejak Mei 2020 menerusi PN, memang tokoh popular bukan sahaja di Jeneri dan dijangka mengekalkan kedudukannya di situ.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat 4 petang pada Sabtu, sekitar 68 peratus penduduk negeri Kedah sudah keluar mengundi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg