Topik diikuti
Pergi ke BHkuAyah sebak doktor muda terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Ulu Baram
Kepulangan Dr Ainul ke Kelantan untuk bercuti seminggu bersama keluarga adalah kenangan terakhir
Ayah sebak doktor muda terkorban dalam kejadian helikopter terhempas di Ulu Baram
KOTA BHARU: “Baru dua hari anak saya (Dr Ainul ) kembali ke Sarawak selepas pulang bercuti di Kelantan selama seminggu, hari ini kami mendapat berita helikopter dinaikinya terhempas dan meninggal dunia.”
Demikian luahan pilu Encik Kamaruddin Salleh, 69 tahun, iaitu bapa kepada Dr Ainul Baraah, 32 tahun, iaitu salah seorang daripada penumpang helikopter yang dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di sini, pada petang 8 September.
Katanya, Dr Ainul yang juga anak keempat dalam lima beradik itu baru berkhidmat sebagai doktor secara tetap kira-kira dua tahun dan bertugas di Hospital di Miri.
“Pada mulanya, saya menerima panggilan daripada besan yang memaklumkan helikopter dinaikinya terhempas dan masih tidak tahu keadaannya. Selepas itu, saya menerima panggilan kali kedua memaklumkan anak saya meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM).
Isterinya, Cik Rogayah Mohd Noor, 69 tahun, sebaik menerima berita itu sangat terkejut dan mereka sendiri tidak mampu berkata-kata.
“Disebabkan itu saya dan isteri belum lagi pergi ke Sarawak memandangkan keadaan isteri dalam keadaan tidak baik kerana terkejut selain mempunyai penyakit.
“Setakat ini, anak-anak selain keluarga besan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum ke Sarawak pagi esok (9 September),” katanya.
Jelasnya, Dr Ainul seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dan sifatnya juga seorang pendiam.
“Sepanjang seminggu pulang ke kampung, Ainul banyak membawa kami keluar berjalan-jalan memandangkan suaminya seorang guru, “ katanya.
Pertemuan terakhir Encik Kamarudin dengan Dr Ainul Baraah adalah ketika mangsa pulang bercuti sempena cuti sekolah sebelum kembali bertugas pada 6 September.
“Dia macam biasa, senyum dan tidak banyak bercakap. Bila balik, dia bersama anak-anak saudara dan keluarga,” katanya dalam satu wawancara berasingan dengan Bernama di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di Kota Bharu.
Encik Kamarudin berkata beliau menerima berita mengenai kejadian itu daripada besannya kira-kira 5 petang tadi.
“Dia telefon selepas sembahyang Asar dan kata ada berita buruk. Sampai dua tiga kali dia sebut berita buruk. Saya tanya berita apa, dia kata helikopter anak saya terbakar,” katanya.
Terdahulu, helikopter BO-105 membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport) di Sarawak.
Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.
CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.
Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol , penolong pegawai perubatan, Encik Alexson Adit dan dua jururawat, iaitu, Cik Debra Moset serta Cik Jessie Paya.
