KUANTAN, PAHANG: “Ada yang tak minta baki duit, ada yang bagi terus (sedekah),” kata Encik Mohd Hafiz Rifqi Mohd Kazwan, menceritakan mengenai pelanggan yang datang ke Kafe Secangkir di Sungai Karang Darat, Kuantan, pada hari terakhir operasi pada 4 September.

Kafe itu diusahakan adiknya, Allahyarhamha Cik Nur Atiqah Sofiya Mohd Hazwan, 32 tahun, yang meninggal dunia bersama suami, dan anak lelaki mereka dalam kemalangan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Temerloh, pada 31 Ogos lalu.

Encik Mohd Hafiz Rifqi, 33 tahun, berkata pelanggan yang hadir ke Kafe Secangkir pada hari terakhir operasi bukan sekadar mahu mendapatkan makanan, malah turut menyumbang sebagai tanda sokongan kepada keluarga.

Beliau berkata ada pelanggan yang membayar RM100 ($31.33) untuk bil makanan bernilai RM20 dan tidak meminta baki.

“Saya sangat hargai, ramai yang bersedekah masa membeli,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada juga yang hadir bukan untuk membeli sebaliknya bergambar dan berkongsi kesedihan dengan keluarga.

Katanya, ada pelanggan sanggup datang dari Ampang, Selangor semata-mata mahu melihat kafe berkenaan dan memberikan sokongan kepada keluarganya.

Encik Mohd Hafiz Rifqi berkata hasil jualan kek, kopi dan makanan di luar premis selain sumbangan pelanggan membolehkan keluarganya mengumpulkan RM9,000 pada hari terakhir operasi.

“Kami tak ada sasar apa-apa pun, memang masa itu niat nak habiskan sahaja,” katanya.

Menurutnya, anggaran jualan kek dan kopi adalah sekitar RM4,000 manakala jualan makanan di luar premis pula lebih RM1,000.

Katanya, wang berkenaan akan digunakan bagi menyelesaikan segala hutang arwah termasuk bayaran kepada pembekal yang sudah menghubunginya.

“Sekarang kita kena selesaikan apa-apa hutang yang ada,” katanya.

ADA LAHIR HASRAT AMBIL ALIH KAFE

Dalam satu laporan berasingan Kosmo!, Encik Muhammad Hafiz Rifqi berkata ramai pihak menyuarakan minat untuk mengambil alih sewaan kedai berkenaan selepas keluarganya memutuskan tidak meneruskan operasi perniagaan.

Namun, buat masa ini, pihaknya menyerahkan kepada pemilik tanah untuk menentukan penyewa baharu yang bakal mengusahakan premis berkenaan.

“Ramai yang menghubungi kami dan menyatakan minat untuk mengambil alih dan membuka kafe di situ, tetapi kami serahkan kepada tuan tanah untuk memilih penyewa yang sesuai.

“Selepas tuan tanah membuat pilihan, baru kami berurusan dengan penyewa berkenaan sekiranya mereka berminat mengambil barangan atau stok yang masih ada di dalam kedai,” kata­nya.

Beliau berkata penyewa baharu kelak bebas menggunakan nama sendiri dan keluarga tidak mahu nama Secangkir Cafe digunakan selepas operasi ditutup sepenuhnya.

“Kami tidak kisah kalau konsep kafe diteruskan tetapi biarlah menggunakan nama sendiri. Nama Secangkir Cafe itu kami tidak mahu gunakan lagi.

“Bagi kami, kisah Secangkir Cafe berakhir di sini dan selepas ini biarlah orang lain pula meneruskannya dengan cara mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, keluarganya mengambil keputusan menutup operasi bukan kerana masalah kewangan atau operasi, sebaliknya mereka merasakan tiada sebab untuk meneruskan perniagaan selepas kehilangan Cik Sofiya.

Tambahnya, arwah merupakan individu yang banyak me­nguruskan operasi kafe selain mempunyai minat mendalam dalam pembuatan kek.

“Arwah yang buat dan uruskan banyak perkara di kafe ini. Jadi bila dia sudah tiada, kami tidak tahu siapa yang mahu teruskan.

“Keluarga pula tidak bergantung kepada pendapatan daripada kafe, jadi kami rasa tidak perlu untuk meneruskannya,” katanya.

Beliau berkata 4 September merupakan hari terakhir operasi Secangkir Cafe dengan premis itu dibuka bagi menghabiskan stok makanan, kek, kopi serta ­barangan kering dan basah yang masih ada.

Katanya, kira-kira 90 poto­ngan kek dan 300 cawan kopi disediakan pada hari terakhir operasi.

Menurutnya, Secangkir Cafe mula beroperasi sebelum Ramadan 2024 dan menjadi tempat arwah menyalurkan minatnya menghasilkan pelbagai jenis kek.

Jelasnya, antara kek yang pernah dihasilkan dan mendapat sambutan termasuk kek pisang, Victoria sandwich dan Ma­tilda cake, manakala jenis kek akan berubah mengikut trend serta permintaan pelanggan.

Terdahulu, Cik Sofiya bersama suaminya, Encik Muhammad Nazatullah Nazmi, 32 tahun, serta anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, empat tahun, maut dalam kemala­ngan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 1, Temerloh.