KUALA LUMPUR: Mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), tidak akan sesekali kembali menyertai parti lamanya meskipun terdapat ‘pelawaan’ kepada bekas ahli untuk berbuat demikian.

Ia sekali gus menolak seruan Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mantan pemimpin dan aktivis parti itu kembali ke landasan perjuangan parti berkenaan.

Datuk Mohamed Azmin, yang juga Setiausaha Agung Bersatu, berkata beliau yakin dengan parti yang disertainya sekarang dapat menjadi wadah perjuangan demi kelangsungan politiknya.

Walaupun Bersatu kini berdepan cabaran terutama kedudukannya dalam gabungan pembangkang, Perikatan Nasional (PN), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu memberi isyarat masa Bersatu akan tiba.

“Masa Bersatu akan tiba. Terus bekerja dengan ikhlas. Bersatu tetap menjadi wadah perjuangan saya. Saya tidak akan lemah semangat dengan satu kegagalan. Esok masih ada,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR di Melaka baru-baru ini, memohon maaf dan merayu kepada bekas pemimpin serta aktivisnya supaya kembali ke landasan perjuangan parti berkenaan.

“Pertama, otai-otai yang kadang-kadang ialah biasa... sila kembali… rakan-rakan saya yang lain, yang mungkin rasa sedikit terpinggir.

“Kalau ada apa-apa kesilapan kita, saya mohon maaf, kembalilah kepada landasan perjuangan kita,” katanya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Sebelum ini, media melaporkan mantan Ahli Parlimen (AP) Bandar Tun Razak, Encik Kamarudin Jaffar, dan mantan AP Nibong Tebal, Encik Mansor Othman, dijangka menyertai semula PKR.

Mantan Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar, turut mengesahkan kembali menyertai parti itu.

Pada 24 Februari 2020, Datuk Mohamed Azmin dipecat keanggotaan PKR kerana melakukan pengkhianatan terbuka.

Keputusan berhubung pemecatan itu diumumkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Selain Datuk Mohamed Azmin, mantan Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin, yang digelar ‘kem Azmin’ juga dipecat pada Mac 2020.

Dalam masa sama, mantan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan mantan Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang meninggalkan parti itu pada Mei lalu, tidak menganggap seruan Datuk Anwar itu ditujukan kepada mereka.

Sebaliknya, mantan Menteri Ekonomi itu berpendapat seruan berkenaan lebih berkemungkinan ditujukan kepada beberapa bekas pemimpin PKR yang pernah meninggalkan parti atau dipecat.