Topik diikuti
Pergi ke BHkuLeraikan ‘drama’ politik: Mandat PKR, DAP redakan kebimbangan kestabilan Putrajaya
Penganalisis: Kerajaan tampak stabil buat masa ini, namun persoalan lebih penting ialah sama ada ia mampu diterjemah kepada prestasi pentadbiran, pelaksanaan reformasi dan pemulihan keyakinan pengundi
Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Perhimpunan Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang melabuhkan tirai hujung minggu lalu dilihat meleraikan ‘drama’ dan persoalan kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila kededua parti utama Pakatan Harapan (PH) itu tekad terus mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
DAP, yang sebelum ini mencetuskan persoalan mengenai kedudukannya dalam kerajaan selepas beberapa keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang kurang memberangsangkan akhirnya mendapat mandat perwakilan pada 16 Ogos untuk kekal dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal.
Pada masa sama, Datuk Anwar, yang juga Presiden PKR, menegaskan kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan perlu diteruskan atas pertimbangan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi walaupun kerjasama itu tidak semestinya diterjemahkan pada peringkat negeri.
Perkembangan itu sekali gus meredakan kebimbangan bahawa perbezaan pendirian antara parti komponen Kerajaan Perpaduan boleh mencetuskan ketidakstabilan baharu atau membawa kepada perubahan besar dalam komposisi kerajaan.
Bagaimanapun, penganalisis berpandangan dengan keputusan dan pendirian terkini DAP dan PKR itu tidak bermakna cabaran terhadap kerajaan sudah berakhir.
Sebaliknya, tumpuan kini beralih daripada persoalan sama ada kestabilan itu mampu diterjemahkan kepada prestasi pentadbiran, pelaksanaan reformasi dan pemulihan keyakinan pengundi terutama kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata kestabilan Kerajaan Perpaduan terjamin buat masa ini, tetapi PKR dan DAP berdepan tuntutan untuk membuktikan kestabilan itu mampu diterjemahkan kepada reformasi dan keyakinan pengundi menjelang PRU16.
Beliau menyifatkan keputusan PKR dan DAP mempertahankan Kerajaan Perpaduan sebagai pilihan pragmatik yang mengutamakan kestabilan politik berbanding perbezaan dan persaingan kepartian.
“Bagi saya keputusan PKR dan DAP mempertahankan Kerajaan Perpaduan walaupun PH dan BN bersaing di PRN negeri memang mengurangkan risiko politik dalam jangka pendek, tetapi tidak bermaksud Kerajaan Perpaduan sudah bebas daripada cabaran.
“Secara struktural kerajaan hari ini lebih stabil kerana Datuk Anwar mahu kerjasama PH-BN diteruskan, DAP memilih untuk kekal dalam kerajaan dan BN sebelum ini juga menyatakan komitmennya untuk bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen.
“Namun cabaran sebenar selepas ini bukan semata-mata soal angka Ahli Parlimen, tetapi kepercayaan antara parti dan kepercayaan pengundi terhadap kerajaan.
“Ketegangan DAP-Umno/BN, kepantasan reformasi, kos sara hidup, keresahan akar umbi dan kesan kekalahan dalam beberapa PRN masih perlu diberikan perhatian.
“Malah sebelum persidangan isu kegelisahan akar umbi DAP mengenai reformasi dan prestasi politik parti sendiri menjadi antara faktor utama yang mendorong penilaian semula kedudukannya dalam kerajaan,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Pada 16 Ogos, seramai 1,857 perwakilan DAP mengundi pada Persidangan DAP 2026 di Kuala Lumpur, untuk menentukan sama ada pemimpin parti itu perlu kekal dalam Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya.
Jumlah itu bagaimanapun jauh lebih sedikit berbanding jangkaan lebih 4,000 perwakilan akan mengundi.
Dalam masa sama, Setiausaha Agung DAP, Encik Anthony Loke, menghormati pertimbangan Datuk Anwar untuk mengekalkan BN dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan kerajaan diutamakan supaya agenda kerajaan Madani dapat terus dilaksanakan.
Walaupun DAP sudah mencapai ketetapan kekal dalam kerajaan, Dr Mohammad Tawfik turut melihat gesaan sebahagian pemimpin DAP untuk parti itu menilai semula hubungan dengan Datuk Anwar, yang didakwa menjadi punca ketegangan antara rakan gabungan PH dengan memberi ruang Umno/BN menyerang DAP, sebagai amaran politik serius.
“Ini menunjukkan kritikan tersebut lebih merupakan ‘kad kuning’ kepada Datuk Anwar berbanding terus mengangkat ‘kad merah’.
“Bagi saya Datuk Anwar perlu membaca kenyataan seperti ini sebagai manifestasi kegelisahan sebahagian akar umbi PH.
“Dalam Kerajaan Perpaduan, Datuk Anwar bukan sahaja perlu memastikan jumlah Ahli Parlimen mencukupi, tetapi perlu bertindak sebagai pengurus hubungan antara parti.
“Jika DAP merasakan Umno diberikan terlalu banyak ruang atau Umno pula merasakan DAP terlalu dominan, ketidakpuasan itu akhirnya boleh diterjemahkan kepada masalah pemindahan undi ketika pilihan raya,” katanya.
Dr Mohammad Tawfik, yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, berpandangan mesej terbesar daripada kedua-dua persidangan ialah kestabilan, tetapi reformasi mesti dipercepatkan, dengan memanfaatkan baki penggal yang tinggal.
“Dalam baki penggal ini saya melihat tiga perkara perlu diberikan keutamaan oleh Datuk Anwar iaitu prestasi kerajaan, reformasi yang dapat dirasakan dan pengurusan hubungan antara parti.
“Pertama kerajaan mesti menghasilkan pencapaian ekonomi yang dapat dirasakan rakyat khususnya berkaitan kos sara hidup, pendapatan dan pekerjaan.
“Kestabilan politik hanya mempunyai nilai kepada pengundi sekiranya diterjemahkan kepada peningkatan kehidupan.
“Kedua, Datuk Anwar perlu mempercepat beberapa reformasi institusi yang telah menjadi komitmen bersama PH, antaranya mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan usaha memerangi rasuah.
“Ketiga, Datuk Anwar perlu memperbaiki pengurusan politik Kerajaan Perpaduan kerana kerjasama di Putrajaya tidak boleh pada masa sama dihancurkan oleh serangan sesama sendiri di pentas PRN,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik yang juga Pengarah Akademik Pusat Penyelidikan Masyarakat Cina Malaysia (Huayan), Profesor Madya Dr Chang Yun Fah, pula menyifatkan keputusan DAP kekal dalam Kerajaan Perpaduan sebagai langkah pragmatik dan paling sesuai dengan kepentingan serta pembangunan parti buat masa ini.
Katanya, dengan PRU16 dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada 2027, keputusan untuk meninggalkan kerajaan ketika ini mungkin tidak memberi DAP tempoh mencukupi untuk mengukuhkan semula sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan bukan Melayu.
Menurutnya, DAP juga berisiko kehilangan sumber dan platform sedia ada dalam kerajaan sekiranya keluar pada ketika ini.
“Namun, keputusan kekal dalam kerajaan tidak bermakna DAP perlu mengetepikan kritikan terhadap pentadbiran, sebaliknya boleh menjadi lebih tegas, apatah lagi ketika sokongan daripada pengundi Cina masih berada pada tahap yang tinggi, iaitu melebihi 70 peratus,” katanya.
Berdasarkan perkembangan terkini yang melibatkan PKR dan DAP, Dr Chang berkata mereka telah berjaya mengurangkan risiko dalaman parti masing-masing dan kini boleh memberikan lebih tumpuan kepada menangani risiko luaran.
“Ia termasuk kemungkinan kerjasama yang lebih erat antara Umno/BN dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS),” katanya.
Bagaimanapun, Dr Chang berpandangan PKR menghadapi cabaran dalaman yang jauh lebih kritikal berbanding DAP.
Beliau merujuk kepada tindakan Datuk Anwar memohon maaf dan menyeru ‘orang lama’ supaya kembali bersatu dalam PKR ketika berucap di pentas Kongres Nasional PKR pada 15 Ogos.
“Ini merupakan satu langkah yang berani dan tepat dalam usaha menyatukan semula PKR,” katanya kepada BH.
Mutakhir ini, masalah dalam PKR semakin buruk selepas Ahli Parlimen (AP) Subang, Encik Wong Chen, pada 10 Ogos lalu keluar daripada PKR dan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang diterajui dua mantan pemimpin PKR – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Kededua mereka terlebih dulu meletak jawatan AP Pandan (Datuk Rafizi) dan AP Setiawangsa (Nik Nazmi) pada Mei lalu, selepas melepaskan jawatan menteri menyusuli kekalahan dalam mempertahankan jawatan pada pemilihan PKR, Mei 2025.
Satu lagi perkembangan yang wajar diberi perhatian ialah jumlah kehadiran perwakilan DAP ketika proses pengundian mengenai kedudukan parti dalam kerajaan pada Persidangan parti itu.
Daripada sasaran awal lebih 4,000 perwakilan, hanya 2,223 hadir untuk proses berkenaan, dengan 1,857 atau 88.2 peratus undi menyokong keputusan untuk kekal dalam kerajaan.
Dr Chang berpandangan angka kehadiran itu tidak semestinya menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap DAP, sebaliknya boleh ditafsirkan daripada pelbagai sudut, termasuk kemungkinan sebahagian perwakilan tidak selesa dengan Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa sama tidak mahu mencetuskan masalah kepada kepimpinan parti.
Penganalisis politik dan Zamil Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan, pula berpandangan kerajaan Persekutuan kini semakin stabil menyusuli jaminan BN dan DAP untuk terus menyokong pentadbiran Datuk Anwar.
Namun, katanya perkembangan di Melaka yang bakal berdepan PRN perlu diperhatikan kerana keputusan sama ada BN akan bekerjasama dengan PH atau Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka masih menjadi persoalan politik yang penting.
“Jadi PRN Melaka ini dikatakan akan menentukan arah tuju ke mana kerjasama politik parti dalam Kerajaan Perpaduan yang akan menggambarkan warna-warni PRU16 nanti,” katanya.
