Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakal haji diingat waspada penipuan visa ‘mujamalah’, ‘furada’

Sepanjang 2024, terdapat 44 kes penipuan haji, umrah disiasat libat kerugian RM890,810
Feb 7, 2025 | 11:06 AM
Orang ramai terutama bakal jemaah haji diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pakej visa ‘mujamalah’ atau ‘furada’.
Orang ramai terutama bakal jemaah haji diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pakej visa ‘mujamalah’ atau ‘furada’. - Foto INSTAGRAM HARAMAIN

KUALA LUMPUR: Polis mengingatkan orang ramai, terutama bakal jemaah haji agar lebih berhati-hati terhadap tawaran pakej visa mujamalah atau furada yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam penipuan.

Perkara itu ditegaskan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, yang menyatakan bahawa beberapa agensi pelancongan tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas keinginan umat Islam untuk menunaikan rukun Islam kelima.

“Musim haji bagi tahun 1446 Hijrah atau 2025 Masihi akan bermula kira-kira tiga bulan dari sekarang.

“Kami percaya bahawa akan ada cubaan penipuan yang melibatkan visa haji mujamalah atau furada, seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan pada 6 Februari 2025.

Menurut Datuk Ramli, sepanjang 2024, sebanyak 44 kes penipuan haji dan umrah telah disiasat, dengan jumlah kerugian sebanyak RM890,810 ($271,170).

Untuk 2025, sehingga 2 Februari, 17 kes penipuan telah direkodkan, dengan kerugian RM364,620 dalam tempoh lima minggu sahaja.

Visa mujamalah atau furada merupakan visa khas yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi.

Namun, visa ini hanya diberikan kepada kumpulan tertentu dan tidak berkaitan dengan kuota rasmi yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

“Visa ini amat terhad dan mahal. Proses pengurusannya juga hanya boleh dilakukan pada saat-saat akhir kerana ia tertakluk kepada keputusan pihak kerajaan Arab Saudi.

“Keputusan mereka bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk situasi semasa di sana,” jelas Datuk Ramli.

Beliau menambah bahawa ketidakpastian dalam proses mendapatkan visa tersebut membuka peluang kepada sindiket penipuan untuk mengeksploitasi orang ramai yang terdesak untuk menunaikan haji.

Datuk Ramli mengingatkan orang ramai yang berhasrat mendapatkan visa mujamalah atau furada supaya hanya berurusan dengan agensi pelancongan yang dipercayai, seperti Lembaga Tabung Haji (LTH).

Beliau memberi amaran keras terhadap janji manis dari mana-mana pihak yang mengatakan bahawa visa akan diberikan setibanya di Arab Saudi, kerana itu adalah janji palsu semata-mata.

“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan,” tegas beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg