JOHOR BAHRU: Dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, Johor, pada 2.54 pagi 17 Mei.
Ketua Polis Johor, Pesuruhjaya M Kumar, yang mengesahkan perkembangan itu turut memaklumkan suspek, seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI), telah ditembak mati di tempat kejadian.
Beliau berkata dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital berkenaan.
“Siasatan awal mendapati anggota polis ditetak dan ditembak. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, lapor Berita Harian Malaysia.
Kejadian awal pagi itu dipercayai berlaku apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Suspek kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg