Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangkai harimau dalam kereta boleh dijual hingga RM300,000 di pasaran gelap

Sep 19, 2025 | 4:24 PM
Harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) yang ditemui mati dalam sebuah kenderaan sangat bernilai di pasaran gelap.
Harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) yang ditemui mati dalam sebuah kenderaan sangat bernilai di pasaran gelap. - Foto FACEBOOK MEDIA KOMUNITI MERSING

KUALA LUMPUR: Harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) yang ditemui mati dalam sebuah kenderaan dinaiki tiga individu di Felda Tenggaroh, Mersing di Johor dipercayai bertujuan untuk diperdagangkan dalam pasaran gelap.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata nilai harimau itu dianggarkan sekitar RM250,000 ($76,086) hingga RM300,000.

Menurutnya, Jabatan Perhilitan sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti rangkaian sindiket terbabit susulan tangkapan tiga suspek berkenaan.

“Kita percaya kegiatan ini membabitkan sindiket pemerdagangan hidupan liar. Setiap anggota badan spesies itu mempunyai nilai di pasaran gelap.

“Operasi membanteras pemburuan haram sememangnya menjadi fokus utama dalam usaha melindungi Harimau Malaya serta hidupan liar terancam yang lain,” katanya.

Beliau berkata bilangan harimau belang pada masa ini hanya direkodkan di kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan yang terletak di lapan negeri utama yang dikenal pasti sebagai negeri rayauan binatang liar itu.

Katanya negeri itu ialah Perak, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan, lapor Harian Metro pada 18 September.

“Ini menunjukkan habitat semula jadi harimau kini sangat terhad dan tertumpu kepada kawasan perlindungan yang masih mempunyai ekosistem hutan yang sesuai untuk kelangsungan hidup spesies ini,” katanya.

Pada 16 September lalu, cubaan tiga lelaki menyimpan bangkai seekor harimau belang berjaya dipatahkan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, Mersing, yang dijalankan Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Jabatan Perhilitan Johor.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Kanan Rosli Md Yusof, dilaporkan berkata penahanan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza menemukan bangkai seekor harimau belang yang dipercayai diburu secara haram.

Susulan itu, tiga lelaki berusia 28 hingga 49 tahun ditahan selepas didapati gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies dilindungi sepenuhnya itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg