Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor tegas banteras pemburuan haram harimau belang

Sep 17, 2025 | 2:53 PM
Bangkai harimau yang ditemui di dalam sebuah kereta di Felda Tenggaroh, Mersing, pada pagi 16 September.
Bangkai harimau yang ditemui di dalam sebuah kereta di Felda Tenggaroh, Mersing, pada pagi 16 September. - Foto FACEBOOK AH SOON

Kerajaan Johor menegaskan tidak akan berkompromi terhadap kegiatan pemburuan haram yang mengancam kelestarian harimau belang (Panthera tigris jacksoni), susulan penahanan tiga lelaki bersama bangkai harimau dalam sebuah kereta di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor, pada pagi 16 September.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, berkata operasi khas itu adalah hasil kerjasama Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, selepas menerima maklumat awam.

“Bangkai harimau tersebut dikesan mengalami kecederaan serius dipercayai akibat jerat, selain enam kesan tembakan di kepala yang menjadi punca kematian.

“Kemungkinan besar haiwan ini diburu untuk dijual di pasaran gelap, memandangkan permintaan terhadap spesies dilindungi ini masih wujud,” katanya dalam kenyataan media pada 17 September.

Antara barangan yang dirampas ialah bangkai harimau, sebuah kereta Perodua Alza dan empat telefon bimbit pelbagai jenama, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM294,007 ($90,064).

Suspek berusia antara 28 hingga 49 tahun itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana menyimpan hidupan liar betina yang dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas.

Encik Ling menegaskan, Johor akan memperkukuh usaha penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan risikan dan memperhebat pemantauan di kawasan berisiko bagi membanteras aktiviti pemburuan serta perdagangan haiwan liar.

“Kami menghargai tindakan pantas dan tepat hasil kerjasama FRU, Perhilitan Johor dan pihak berkuasa lain. Pada masa sama, kami menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan kerajaan dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan pemburuan haram,” katanya.

Beliau menambah, kepentingan khazanah biodiversiti adalah amanah bersama untuk dipelihara demi generasi kini dan akan datang.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Encik Aminuddin Jamin, ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Operasi Bersepadu Khazanah, yang dikendalikan Sekretariat Perhilitan Pusat dengan kerjasama polis, kastam dan jabatan perhutanan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg