Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 maut, lebih 100,000 terjejas banjir terburuk M’sia dalam 10 tahun

Nov 29, 2024 | 7:51 PM
Penduduk di Pasir Mas, Kelantan, memantau keadaan banjir di sekitar rumah mereka berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Penduduk di Pasir Mas, Kelantan, memantau keadaan banjir di sekitar rumah mereka berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu. - Foto BERNAMA

Malaysia sedang dilanda banjir terburuk dalam 10 tahun dengan tiga maut dan jumlah mangsa di sembilan negeri terjejas melebihi 100,000 orang setakat 8.30 malam pada 29 November.

Dalam tiga hari bencana itu melanda setakat ini, dua orang korban di Kelantan pada 27 November dan seorang di Terengganu pada 28 November.

Daripada 35 daerah di sembilan negeri yang dilanda banjir, Kelantan lumpuh dan terjejas paling teruk, dengan lebih 73,000 mangsa daripada lebih 22,000 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di 10 daerah.

Ia hampir mengulangi sejarah ‘Bah Kuning’ di Kelantan pada 2014, apabila lebih 150,000 mangsa daripada 36,000 keluarga terjejas akibat banjir antara yang paling buruk di Malaysia.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir terus meningkat, mencecah 20,000 orang daripada lebih 5,000 keluarga.

Hujan lebat yang berterusan di dua negeri Pantai Timur itu memburukkan keadaan, dengan kebanyakan rumah di kawasan terjejas ditenggelami air hingga hanya bumbung yang kelihatan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memastikan kemudahan di PPS dalam keadaan baik dan bantuan disampaikan kepada semua mangsa banjir.

Beliau turut mendoakan semua mangsa dan petugas dalam operasi menyelamat diberikan perlindungan dan kesabaran.

“Keadaan cuaca ketika ini tidak menentu dan orang ramai perlu sentiasa berhati-hati dan peka dengan arahan pasukan keselamatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Johor masih pada peringkat awal banjir dengan hanya 82 mangsa daripada 25 keluarga terjejas.

Pada 29 November, keadaan banjir memburuk dengan tiga lagi negeri – Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka – menjadi negeri terbaru dilanda bencana itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan hujan lebat tahap bahaya di Kelantan dan Terengganu akan berterusan hingga 30 November.

Selain itu, Perak dan Pahang diramalkan mengalami hujan lebat berterusan pada tahap buruk dalam tempoh sama.

Dengan keadaan banjir semakin buruk, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan semua menteri serta timbalan menteri turun padang ke kawasan bencana dan cuti menteri dibekukan.

“Semua menteri diminta teruskan tugas sekarang, turun (ke lapangan). Ya (cuti dibekukan),” katanya.

Lebih 82,000 anggota pasukan keselamatan diatur gerak bagi menghadapi banjir di negeri terjejas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg