PADANG TERAP (Kedah): Kasih sayang dan keakraban dua beranak membawa hingga ke hujung nyawa selepas kededua mereka lemas ketika meredah banjir di Kampung Tanjung Kanan, Jalan Padang Sanai, Padang Terap, Kedah.
Video tular memaparkan kejadian seorang ibu dan anak lelakinya mengharungi banjir kira-kira 8 pagi pada 28 September sebelum dihanyutkan arus deras meruntun hati ramai.
Mayat mangsa, Allahyarham Muhammad Rosman Rohadi, 19 tahun, seorang orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemui tersangkut pada pelepah kelapa sawit pada 5.35 petang 28 September.
Jasad ibunya, Allahyarhamha Salmah Mat Zain, 46 tahun, pula ditemui pada 7.45 pagi 29 September, pada jarak kira-kira 50 meter dari tempat anaknya ditemui.
Jenazah kededua mangsa telah selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah, Kampung Tanjung, Padang Terap, pada 29 September, lapor Harian Metro.
Kejadian dipercayai berlaku ketika dua beranak itu baru pulang membeli nasi lemak dan menaiki motosikal menggunakan jalan jauh iaitu berjarak lebih tiga kilometer (km), susulan jalan utama ke rumah mereka terputus kerana dinaiki air.
Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk dan meredah air sehingga paras dada orang dewasa untuk pulang ke rumah.
Ketika mengharung banjir, Allahyarham Muhammad Rosman dikatakan sempat menarik tangan ibunya yang berpaut pada pokok getah, namun arus terlalu deras menyebabkan kededua mereka dihanyutkan banjir.
Bapa saudara Allahyarhamha Salmah, Encik Md Tajuddin Awang Mohammad, 47 tahun, berkata dua beranak itu sangat rapat dan Allahyarham Muhammad Rosman seorang anak istimewa yang setia menemani ibunya sepanjang masa dan sentiasa bersama walau ke mana mereka pergi.
Seorang saksi, Encik Mohd Amir Mohd Sougelail, 28 tahun, berkata beliau nampak si ibu sempat berpaut pada pokok getah sebelum anaknya berpatah balik untuk mengambil ibunya, tetapi kededuanya kemudian dihanyut arus.
“Penduduk kampung sudah panggil dua beranak itu supaya jangan redah banjir sebab arus sungai sangat deras, tetapi mereka tetap meneruskan perjalanan.
“Orang kampung ada cuba memanggil mereka dan ada sahutan beberapa kali sebelum mereka senyap selepas dihanyut arus,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg