Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di M’sia kian reda; ramai sibuk bersih kediaman dengan bantuan relawan

Jan 16, 2024 | 4:20 PM
SUMBANG TENAGA: Petugas sukarelawan membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Johor yang diselaputi lumpur.
SUMBANG TENAGA: Petugas sukarelawan membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Johor yang diselaputi lumpur. - Foto FACEBOOK AHMAD ZAHID HAMIDI

Situasi banjir di tiga negeri – Johor, Pahang dan Sabah – semakin pulih dengan setakat ini hanya 424 mangsa daripada 141 keluarga masih berada di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

Perkembangan baik itu menyaksikan ribuan mangsa yang terjejas banjir sebelum ini sudah kembali ke kediaman masing-masing dan mula sibuk melakukan kerja pembersihan rumah dan premis perniagaan masing-masing.

Bagaimanapun, mangsa banjir tidak berseorangan membersihkan kediaman dan premis perniagaan yang disalut lumpur akibat banjir, apabila banyak pasukan sukarelawan digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memuji keprihatinan dan kecaknaan (ambil peduli) pelbagai pihak dalam membantu meringankan tekanan dan bebanan mangsa dalam tempoh pascabanjir ini, tanpa mengambil kira latar belakang serta perbezaan fahaman politik.

“Saya bangga melihat semangat dan kecekalan ditunjukkan sukarelawan termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri Umno yang turun padang menyantuni dan membantu mangsa banjir di Johor.

“Selain membekalkan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir, mereka juga bersemangat untuk sama-sama mencuci kawasan yang dilanda banjir dan membersihkan kediaman terjejas.

“Sikap kepedulian dan kasih sayang sebegini merupakan satu nilai yang sentiasa diterapkan di setiap peringkat.

“Kita juga percaya bantuan kepada mereka yang ditimpa musibah perlu diberi keutamaan melangkaui kepentingan politik bagi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada 16 Januari.

Di Johor, setakat 4 petang 16 Januari, hanya 89 mangsa daripada 24 keluarga di Segamat dan Batu Pahat belum dibenarkan pulang, manakala 101 mangsa daripada 34 keluarga masih berlindung di satu PPS di Pahang.

Sabah menyaksikan jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 234 orang daripada 83 keluarga di empat PPS.

Dalam pada itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora, selain kenaikan paras air laut yang mungkin menyebabkan risiko berlaku banjir.

MetMalaysia dalam kenyataan pada 16 Januari menyebut angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga 19 Januari.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

“Kenaikan paras air laut pula dijangka di kawasan perairan Johor Timur, Pahang, Terengganu, Kelantan sehingga 17 Januari dan berisiko kepada limpahan air laut di pesisir pantai,” kata kenyataan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg