Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Redah lumpur di pedalaman Sabah hingga berkudis demi kejar cita-cita

Jan 15, 2024 | 1:53 PM
RUTIN PERIT: Darren Dinis dan adiknya Sheryl terpaksa meredah jalan berlumpur hingga kaki mereka berkudis untuk ke sekolah. Keperitan itu perkara rutin bagi penduduk Kampung Tampakahu, 28 km dari Pitas di utara Kota Kinabalu, kerana itu saja jalan yang menghubungkan kampung mereka.
RUTIN PERIT: Darren Dinis dan adiknya Sheryl terpaksa meredah jalan berlumpur hingga kaki mereka berkudis untuk ke sekolah. Keperitan itu perkara rutin bagi penduduk Kampung Tampakahu, 28 km dari Pitas di utara Kota Kinabalu, kerana itu saja jalan yang menghubungkan kampung mereka. - Foto NSTP

KINABALU: Sejak setahun lalu, Darren Dinis, 11 tahun, dan adiknya Sheryl, tujuh tahun, meredah jalan berlumpur hingga berkudis kaki demi mengejar cita-cita masing-masing menjadi pegawai polis dan guru.

Apabila tiba musim tengkujuh, perjalanan ke sekolah mereka menjadi lebih sukar kerana satu-satunya laluan dari Kampung Tampakahu menuju jalan besar akan dinaiki air yang mengambil masa untuk surut. Ada kala keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa ponteng sekolah.

“Kadangkala saya tak dapat ke sekolah kalau hujan lebat kerana laluan ke jalan utama dinaiki air. Jalan itu satu-satunya laluan menuju jalan besar.

“Dari rumah kami perlu jalan kaki sejauh tiga kilometer di laluan berlumpur sebelum tiba di jalan besar. Dari situ barulah kami naik kenderaan ke sekolah,” kata Darren.

Keperitan Darren untuk ke sekolah sebenarnya adalah hal yang menjadi rutin bagi penduduk Kampung Tampakahu, 28 kilometer (km) dari Pitas, utara Kota Kinabalu, Sabah. Sekolah terdekat ialah Sekolah Kebangsaan Senaja, yang terletak 14 km dari pekan Pitas.

Itu sebenarnya adalah sebahagian warna-warni kehidupan di kawasan pedalaman Malaysia. Bagi murid seperti Darren, tidak ada hal yang lebih meresahkan daripada tidak dapat pergi ke sekolah.

“Sehari gagal hadir sekolah, saya dan adik Sherryl sudah ketinggalan mengikuti pembelajaran di sekolah.

“Saya tidak pernah ponteng sekolah, kecuali sakit atau hujan lebat menyebabkan jalan biasa yang kami guna digenangi air,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Darren, anak ketiga dari empat adik-beradik, gemar mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Jasmani, manakala Sherryl sukakan subjek Matematik dan Sains.

“Ada kala saya redah juga jalan berlumpur sebab saya tak mahu ketinggalan pelajaran. Akibatnya kaki saya berkudis. Kudis ini lambat sembuh dan menyakitkan.

“Tapi kalau saya tidak harung air, berapa lama saya perlu tunggu air itu surut sedangkan itu saja jalan yang menghubungkan kampung kami,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg