Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di Terengganu semakin buruk

Nov 21, 2023 | 2:30 PM
TANYA KHABAR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (berbaju biru), menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu, Terengganu pada Selasa.
TANYA KHABAR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (berbaju biru), menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu, Terengganu pada Selasa. - Foto FACEBOOK DATUK SERI DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR

KUALA LUMPUR: Hampir 2,000 penduduk dilaporkan terjejas akibat banjir di tiga negeri dengan keadaan bah di Terengganu dilaporkan semakin buruk.

Setakat 1 tengah hari pada Selasa, seramai 1,774 mangsa daripada 488 keluarga beralih ke pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di Terengganu.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan sebanyak 14 PPS dibuka di Terengganu setakat ini, membabitkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Setiu bagi menempatkan mangsa bencana.

Berita Harian Malaysia pada Selasa melaporkan daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 699 orang daripada 189 keluarga dan ditempatkan di tujuh PPS setakat tengah hari, Selasa.

Kelantan turut mula dilanda banjir dengan 17 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS di Pasir Putih, manakala Perak yang semakin pulih daripada banjir merekodkan sejumlah 75 mangsa daripada 22 keluarga di dua PPS.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang turun padang melawat mangsa banjir di Kuala Terengganu berpuas hati dengan gerak kerja agensi kerajaan terbabit dalam pengurusan bencana.

“Alhamdulillah, semua agensi terlibat telah menjalankan tugas dan menguruskan dengan baik, cuma kita perlu pastikan agihan bekalan makanan, ubatan dan keperluan asas kepada mangsa berjalan lancar.

“Pihak sekolah juga nampak sudah tahu apa yang hendak dibuat dalam mendepani situasi banjir ini,” katanya di laman Facebook rasmi pada Selasa sejurus lawatan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Chendering, Kuala Terengganu.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko dan terjejas supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan pihak berkuasa dan menjaga keselamatan serta kesihatan keluarga terutama anak kecil bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Banjir turut menyebabkan 13 sekolah di empat daerah di Terengganu yang dilanda banjir terpaksa ditutup sejak Isnin.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Azman Othman @ Abdullah, berkata sehubungan itu, beliau meminta pengurusan sekolah terbabit memohon cuti bencana dan sekolah berkenaan akan dipertimbang untuk dijadikan PPS bagi menempatkan mangsa banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada Selasa turut mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga Rabu, melibatkan beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu.

METMalaysia dalam kenyataannya menyatakan amaran cuaca di Kelantan dikeluarkan bagi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh, manakala di Terengganu membabitkan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

Selain itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Jeli dan Kuala Krai di Kelantan, Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman), selain Kuantan di Pahang sehingga Rabu.

“Alhamdulillah, semua agensi terlibat telah menjalankan tugas dan menguruskan dengan baik, cuma kita perlu pastikan agihan bekalan makanan, ubatan dan keperluan asas kepada mangsa berjalan lancar. Pihak sekolah juga nampak sudah tahu apa yang hendak dibuat dalam mendepani situasi banjir ini.”
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam hantaran di Facebook.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg