Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 kali ini bukan sahaja menyaksikan pertembungan parti-parti politik utama, malah turut memperlihatkan kemunculan beberapa calon muda yang mahu membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Kemunculan calon muda ini memberi gambaran tentang arah baharu politik negeri jiran itu, khususnya dalam menangani isu harian seperti banjir, peluang pekerjaan, peniaga kecil, kesesakan jalan raya dan kebajikan masyarakat.

Kemunculan calon-calon muda ini juga menjadikan PRN Johor kali ini lebih berwarna, terutamanya ketika pengundi mahu melihat bukan sahaja janji besar, malah keupayaan calon memahami masalah harian rakyat.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 33 calon, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 15 calon, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) empat calon, enam calon Bebas, manakala Parti Orang Asli Malaysia (Poam) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing meletakkan seorang calon.

Pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai.

Usia muda satu kelebihan

Antara calon muda yang mencuri perhatian ialah calon PH bagi DUN Johor Lama, Kota Tinggi, Encik Danish Hossman Abd Rahman, 24 tahun, yang juga calon termuda dalam PRN Johor kali ini.

Encik Danish Hossman Abd Rahman (kiri), bertemu pengundi ketika berkempen di Johor Lama.
Encik Danish Hossman Abd Rahman (kiri), bertemu pengundi ketika berkempen di Johor Lama. - Foto FACEBOOK DANISH HOSSMAN

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata Johor Lama mempunyai banyak potensi yang belum diberi perhatian sewajarnya, terutama kawasan kampung dan pusat perniagaan kecil.

“DUN Johor Lama ini banyak potensi. Ada kawasan seperti Kampung Panchor yang pemandangannya indah, tetapi tidak dipedulikan sejak puluhan tahun.

“Sebagai wakil rakyat, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mendengar masalah rakyat, kemudian menyelesaikannya,” kata Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pontian dan Exco Angkatan Muda PKR (AMK) Johor itu.

Encik Danish berkata beliau tidak melihat usianya sebagai kekurangan, sebaliknya sebagai kelebihan untuk membawa tenaga dan pendekatan baharu.

“Usia 24 tahun hanya angka. Saya membawa tenaga dan idea baharu untuk bekerja, mendengar masalah rakyat di bawah, dan pada masa yang sama saya terbuka untuk belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

Pengalaman berkhidmat jadi sandaran

Di Johor Jaya, Johor Bahru, calon Cik Lee Wern Yiing, 30 tahun, mahu membawa pengalaman berkhidmat di kawasan itu sejak 2018 ke peringkat Dewan Negeri Johor.

Cik Lee Wern Yiing (kiri), mengedarkan poster kempen beliau di Johor Jaya.
Cik Lee Wern Yiing (kiri), mengedarkan poster kempen beliau di Johor Jaya. - Foto FACEBOOK LEE WERN YIING

Beliau yang merupakan Ketua Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (Dapsy) Johor berkata usia muda memberinya kekuatan untuk lebih dekat dengan masyarakat, terutama anak muda, warga emas dan penduduk di kawasan matang.

“Usia muda memberi saya lebih tenaga untuk mendengar, lebih berani untuk mencuba dan lebih tegas untuk memperjuangkan hak rakyat.

“Saya mahu membawa suara pengundi Johor Jaya ke Dewan Negeri Johor, mendapatkan lebih banyak sumber untuk rakyat dan memperbaiki sistem yang masih lemah,” katanya.

Cik Lee berkata tumpuannya termasuk membantu usahawan muda, menghidupkan semula kawasan perniagaan lama, memudahkan warga emas mendapatkan bantuan kerajaan, serta mengukuhkan hubungan antara generasi dalam masyarakat.

Di Puteri Wangsa, Johor Bahru, calon Muda, Cik Rashifa Aljunied, 26 tahun, pula tampil dengan pengalaman empat tahun bekerja bersama penduduk di kawasan itu.

Cik Rashifa Aljunied (kiri), ketika Hari Penamaan Calon pada 27 Jun.
Cik Rashifa Aljunied (kiri), ketika Hari Penamaan Calon pada 27 Jun. - Foto FACEBOOK RASHIFA ALJUNIED

Anak jati Johor Bahru itu berkata pengalaman bersekolah di sekolah perempuan sepanjang 11 tahun, termasuk di Sekolah Tun Fatimah dan IJ Convent Johor Bahru, banyak membentuk keyakinannya dalam soal kepimpinan wanita dan keberanian bersuara.

“Saya berharap Puteri Wangsa terus menjadi bukti bahawa anak muda mampu memimpin apabila ada yang sanggup memberi peluang dan percaya kepada mereka.

“Saya sedar ramai melihat usia saya sebagai kelemahan, tetapi saya telah berkhidmat dan belajar bersama penduduk Puteri Wangsa sepanjang empat tahun ini,” katanya.

Cik Rashifa berkata isu utama yang mahu dibawanya ialah suara rakyat, kos sara hidup, banjir dan pembangunan yang lebih mampan.

“Bagi saya, tua atau muda bukan ukuran utama. Yang lebih penting ialah sejauh mana seseorang memahami kawasan yang ingin diwakilinya dan sanggup hadir bersama rakyat ketika mereka memerlukan bantuan,” katanya.

Misi perubahan orang muda

Di Maharani, Encik Muhammad Amir Fiqri Mustapha, 30 tahun, atau lebih dikenali sebagai Amir Jack, mahu membina kawasan itu sebagai contoh pentadbiran yang maju, bersih dan telus.

Encik Muhammad Amir Fiqri Mustapha (kiri), berhasrat memperkukuh ekonomi tempatan melalui perusahaan kecil dan sederhana, membantu anak muda berniaga serta mengangkat hasil kampung di bawah jenama ‘Maharani’.
Encik Muhammad Amir Fiqri Mustapha (kiri), berhasrat memperkukuh ekonomi tempatan melalui perusahaan kecil dan sederhana, membantu anak muda berniaga serta mengangkat hasil kampung di bawah jenama ‘Maharani’. - Foto FACEBOOK GENG AMIR JACK

Anak tempatan Muar itu berkata Maharani bukan sekadar kawasan yang ditandinginya, bahkan tempat beliau membesar dan mengenal kehidupan masyarakat.

“Maharani bukan sekadar tempat saya bertanding, tetapi tanah yang telah membentuk diri saya.

“Saya mahu melihat Maharani menjadi kawasan yang maju, bersih, telus dan memberi peluang kepada semua,” katanya.

Encik Amir berkata tumpuannya termasuk memperkukuh ekonomi tempatan melalui perusahaan kecil dan sederhana, membantu anak muda berniaga serta mengangkat hasil kampung di bawah jenama ‘Maharani’.

Beliau juga mahu melihat pentadbiran DUN yang lebih terbuka, termasuk audit tahunan perbelanjaan Pejabat DUN, pengagihan peruntukan yang lebih adil dan penglibatan rakyat dalam menentukan keutamaan pembangunan.

“Saya tidak melihat pencalonan ini sebagai pertandingan semata-mata, tetapi sebagai amanah untuk berbakti kepada masyarakat yang telah membesarkan saya,” katanya.

Di Bukit Batu, Kulai, calon Cik Tamili Gopalakrishnan, 29 tahun, membawa latar belakang undang-undang dan pengalaman kerja masyarakat sejak usia remaja.

Cik Tamili Gopalakrishnan (kiri), mahu membawa isu berkaitan banjir akibat longkang tersumbat, jalan berbahaya, kesesakan akibat kerja binaan, kemudahan awam yang tidak mencukupi serta beberapa aduan kecil yang berlarutan terlalu lama.
Cik Tamili Gopalakrishnan (kiri), mahu membawa isu berkaitan banjir akibat longkang tersumbat, jalan berbahaya, kesesakan akibat kerja binaan, kemudahan awam yang tidak mencukupi serta beberapa aduan kecil yang berlarutan terlalu lama. - Foto ihsan TAMILI GOPALAKRISHNAN

Anak jati Kulai itu berkata beliau telah lama terlibat dalam kerja kebajikan melalui pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat setempat.

“Saya sangat teruja menjadi calon di sini kerana sejak usia 18 tahun, saya sudah melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat.

“Selama ini kami membantu secara kecil-kecilan, tetapi sebagai wakil rakyat, saya percaya saya boleh berkhidmat dengan lebih luas,” katanya.

Cik Tamili berkata antara isu utama di Bukit Batu ialah banjir akibat longkang tersumbat, jalan berbahaya, kesesakan akibat kerja binaan, kemudahan awam yang tidak mencukupi serta beberapa aduan kecil yang berlarutan terlalu lama.

“Bagi saya, wakil rakyat bukan sekadar mendengar masalah. Yang paling penting ialah siapa yang mampu menyelesaikannya,” katanya.

Bukan mahu jadi ‘jaguh kampung’

Di Bukit Permai, calon Parti Bersama Malaysia, Encik Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof, 28 tahun, tampil dengan kisah hidup sebagai generasi ketiga Felda dari Felda Taib Anak, Kulai.

Encik Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof (tengah), mahu membawa lebih banyak program untuk golongan belia bagi menjauhkan mereka daripada kegiatan tidak sihat.
Encik Muhammad Aidil Riduan Mohd Yusof (tengah), mahu membawa lebih banyak program untuk golongan belia bagi menjauhkan mereka daripada kegiatan tidak sihat. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau berkata pengalaman membesar dalam keluarga Felda yang berdepan cabaran ekonomi menjadikannya lebih memahami keresahan anak muda, terutamanya dalam soal pekerjaan dan masa depan.

“Saya mahu menunjukkan bahawa anak muda mempunyai banyak peluang dan bakat. Ramai kawan saya ada kebolehan, tetapi terpaksa bekerja dalam bidang yang bukan minat mereka kerana tekanan ekonomi,” katanya.

Encik Aidil, yang pernah bekerja dalam bidang pembinaan dan kini mengurus perniagaan sendiri, berkata beliau mahu membantu anak muda mendapatkan peluang pekerjaan, berniaga dan mengisi masa dengan kegiatan sihat seperti sukan.

“Saya percaya kita perlu memberi ruang kepada anak muda untuk berkembang. Kalau mereka ada tempat bersukan, bergaul dan belajar perkara baharu, kita boleh menjauhkan mereka daripada kegiatan tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, calon BN bagi DUN Kahang, Kluang, Encik Rugendran Vellayan, 29 tahun, berkata pencalonannya sebagai anak muda merupakan peluang untuk berkhidmat secara adil kepada semua penduduk.

Encik Rugendran Vellayan (kiri), mahu membawa suara penduduk Kahang ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri.
Encik Rugendran Vellayan (kiri), mahu membawa suara penduduk Kahang ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri. - Foto FACEBOOK RUGENDRAN VELLAYAN

Beliau, yang pernah menuntut di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) dan kini Timbalan Ketua Pemuda MIC Johor, berkata penglibatannya dalam kegiatan masyarakat dan parti bermula sejak usia muda.

“Saya anak muda Johor yang baru masuk ke medan ini sebagai calon, tetapi sejak umur 13 tahun saya sudah terlibat dalam pelbagai kegiatan masyarakat dan parti.

“Untuk kali pertama ini, saya mahu memberikan yang terbaik secara adil kepada seluruh warga DUN Kahang, bukan hanya sekadar mendengar tetapi membantu membawa suara mereka di dalam Sidang DUN untuk diselesaikan,” katanya.

Seramai 172 calon disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi, 27 Jun lalu.

Menurut SPR sebanyak 172 kertas penamaan calon telah diterima dan disahkan layak bertanding.

Daripada jumlah itu, seramai 138 ialah calon lelaki manakala 34 lagi calon wanita.

Daripada isu banjir, jalan rosak, peluang kerja, warga emas, anak muda, peniaga kecil hingga pentadbiran telus, calon-calon muda ini membawa nada yang hampir sama; politik tidak harus jauh daripada kehidupan rakyat.