Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bas rempuh lori tangki: 2 maut, 16 cedera di Batu Pahat

Jul 3, 2025 | 11:30 AM
bas, nahas, maut, cedera, johor
Lokasi kemalangan di Kilometer 80.7 Lebuhraya Plus arah selatan, Ayer Hitam, Batu Pahat. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA NEGERI JOHOR

Dua lelaki warga Indonesia maut manakala 16 yang lain cedera apabila bas persiaran yang membawa keseluruhan 46 penumpang dipercayai merempuh belakang sebuah lori tangki air yang sedang ditunda oleh lori penunda di Kilometer 80.7 Lebuhraya Plus arah selatan, Ayer Hitam, awal pagi 3 Julai.

Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Johor Bahru dan semua penumpang merupakan warga Indonesia.

Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.44 tengah malam dan tiba di lokasi 24 minit kemudian.

“Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah bas persiaran, lori tangki dan lori penunda.

“Dua penumpang lelaki bas tersepit dan disahkan maut di lokasi, manakala 16 lagi mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Hidirman, 43 tahun dan Zulhadi, 44 tahun.

Kedua-duanya tersepit di bahagian tengah bas dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Daripada 46 penumpang bas, 14 lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan, manakala 28 yang lain termasuk pemandu dilaporkan selamat.

Pemandu bas turut cedera dalam kejadian.

Encik Mohd Shamin turut memaklumkan pemandu lori tangki berusia 33 tahun dan pemandu lori penunda berusia 42 tahun bagaimanapun tidak cedera.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat dengan ambulans Kementerian Kesihatan dan dibantu oleh jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi menyelamat disertai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam serta Yong Peng bersama dua jentera, dengan operasi berjaya dikawal pada 3.02 pagi.

Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Kejadian kemalangan melibatkan bas persiaran menjadi tumpuan selepas tragedi melibatkan kematian penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas disewa khas dari Jertih untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik.

Kejadian turut mengakibatkan 29 yang lain cedera, menjadikan keseluruhan mangsa seramai 44 orang. – REMAR NORDIN

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg