MERSING (Johor): Dua lelaki termasuk seorang warga Singapura lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika berenang berhampiran Pulau Mawar di Endau di pantai timur Johor.
Kejadian yang berlaku kira-kira 2.37 petang 7 April itu melibatkan tiga lelaki, kata pihak bomba tempatan.
Warga Singapura itu, Encik V. Yogaraj, 37 tahun, ditemui terapung berhampiran permukaan air oleh orang awam selepas beliau lemas, kata ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau dan komander operasi kanan, Encik Mohd Alias Hussin.
Mendiang dibawa ke pantai tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang warga India, Encik R. Narayanan, 45 tahun, ditemui pada 4.50 petang oleh anggota penyelamat kira-kira 300 meter dari tempat beliau dilaporkan hilang.
Sebelum ini dilaporkan dua lelaki lemas, manakala warga Malaysia, Encik K. Anpananthan, 39 tahun, berjaya menyelamatkan diri.
Ketiga-tiga lelaki itu adalah rakan yang telah mengembara dari Johor Bahru ke Mersing, tambah Encik Alias, lapor The Star.
Anggota bomba menggunakan tali penyelamat untuk mengambil mayat lelaki India itu, yang kemudiannya diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
Operasi itu diketuai Balai Bomba dan Penyelamat Endau, dengan sepasukan tujuh anggota dikerahkan.
Pasukan itu tiba di lokasi kira-kira 2.56 petang, kira-kira 20 kilometer dari balai bomba berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg