Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor rekod 108 kes kebakaran terbuka, cuaca panas dijangka memuncak Jul-Sep

Jun 17, 2025 | 1:14 PM
M’sia, kebakaran, cuaca panas
Bomba Johor bersiap siaga dengan kekuatan 1,325 anggota dan 34 balai bomba yang beroperasi 24 jam. - Foto FACEBOOK BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT MERSING

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor merekodkan sebanyak 108 kes kebakaran terbuka sejak bermulanya Monsun Barat Daya (MBD) pada Mei sehingga pertengahan Jun 2025, dengan majoriti melibatkan kebakaran belukar dan sampah.

Pengarah JBPM Johor, Cik Siti Rohani Nadir, berkata cuaca panas dan kering sepanjang fasa MBD tahun ini (2025) dijangka tidak terlalu ekstrem kerana tiada pengaruh besar daripada fenomena El Nino atau La Nina.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Cik Siti Rohani Nadir.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Cik Siti Rohani Nadir. - Foto JBPM JOHOR

Namun, kemuncak musim dijangka berlaku antara Julai hingga September, dengan kemungkinan berlakunya cuaca kering berpanjangan yang berisiko mencetuskan lebih banyak kebakaran.

“Daripada 108 kes yang direkodkan, sebanyak 103 kes (95.34 peratus) berlaku di kawasan bukan tanah gambut, manakala lima kes (4.66 peratus) di kawasan tanah gambut.

Kes tertinggi melibatkan kebakaran belukar (59 peratus), diikuti kebakaran sampah (30 peratus), ladang atau kebun (10 peratus), dan longgokan kayu (2 peratus).

“Kes kebakaran tanah gambut lebih mencabar untuk dipadamkan kerana bara api boleh tersimpan dalam tanah untuk tempoh lama, dan biasanya memerlukan masa tujuh kali ganda lebih lama untuk dipadamkan berbanding kebakaran biasa,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Cik Siti Rohani turut menekankan bahawa antara punca utama kebakaran adalah cuaca kering serta aktiviti pembakaran terbuka yang tidak terkawal. Johor mencatat peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lalu yang hanya merekodkan 87 kes.

Menurutnya, pihak bomba telah mengenal pasti 42 ‘lokasi panas’ atau hotspot kebakaran hutan dan belukar di 10 daerah utama. Kawasan paling berisiko adalah Mersing yang mencatat lapan lokasi, diikuti Muar (7), Kota Tinggi (5) dan Batu Pahat (3).

“JBPM Johor bersiap siaga dengan kekuatan 1,325 anggota dan 34 balai bomba yang beroperasi 24 jam. Kami juga mempunyai 28 Pasukan Bomba Sukarela dengan 576 anggota, 35 jentera FRT dan LFRT, serta tambahan 17 unit pam angkut baru untuk kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dalam cuaca panas, serta memastikan bahan mudah terbakar seperti daun kering dibuang dengan selamat. Orang ramai juga disaran melaporkan segera sebarang tanda kebakaran kepada pihak bomba.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap, menggesa Kerajaan Johor untuk segera melaksanakan Pelan Tindakan Iklim Negeri Johor 2050 supaya negeri itu tidak ketinggalan dalam menangani impak perubahan iklim.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Johor, Encik Anuar Abd Manap. - Foto ihsan ANUAR ABD MANAP

“Kita perlu lebih bersedia. Contohnya, banjir besar yang berlaku pada Mac lalu melibatkan lebih 15,000 mangsa. Nasihat awal daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan tindakan pantas jentera kerajaan sedikit sebanyak membantu.

“Namun, saya difahamkan MetMalaysia memerlukan penambahan Stesen Meteorologi Automatik Auksiliari (AAWS) di seluruh Johor. Tetapi sehingga kini belum ada sebarang peruntukan disalurkan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar data mangsa banjir dikemaskini sepenuhnya dan dicadangkan agar aplikasi digital diwujudkan bagi membantu pengurusan dan pengesanan mangsa secara automatik sekiranya sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai zon bencana.

“Dengan data yang tepat, kita boleh rujuk dengan agensi insurans. Mereka yang telah menerima bayaran insurans boleh tetap dibantu kerajaan, cuma nilai bantuan mungkin berbeza berbanding mangsa yang tiada perlindungan insurans,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg