Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bau kimia dikesan di kilang Pasir Gudang, tiga mangsa dirawat

Oct 1, 2025 | 1:47 PM
pencemaran bau kimia, kilang Pasir Gudang, tiga mangsa dirawat
Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) melakukan persiapan selepas menerima laporan mengenai pencemaran bau kimia di sebuah kilang di Jalan Platinum, Pasir Gudang. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM) JOHOR

Satu kejadian pencemaran bau kimia dikesan berlaku di sebuah kilang di Jalan Platinum, Pasir Gudang, Johor, pada 30 September, menyebabkan tiga individu terjejas dan mendapat rawatan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.11 malam.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dengan bantuan unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Larkin bergegas ke lokasi dan tiba lima minit kemudian.

Operasi diketuai Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba, Encik Sarhan Akmal Mohamad, manakala Pegawai Kanan Hazmat, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Encik Saifulbahari Safar, turut hadir di lokasi.

“Hasil siasatan mendapati adanya pencemaran bau kimia di kawasan kilang terbabit.

“Tiga mangsa telah dibawa pihak KKM sebelum pasukan bomba tiba,” kata JBPM dalam satu kenyataan pada 1 Oktober.

Pasukan Hazmat melakukan pemeriksaan rapi di premis berkenaan dengan menggunakan peralatan pengesan gas.

Bacaan mengesan kehadiran gas hidrogen sulfida pada kepekatan 8.9 bahagian bagi setiap juta (ppm).

Bagi mengawal keadaan, pasukan operasi bersama juruteknik kilang melaksanakan pemeriksaan berkala dengan memakai Kelengkapan Perlindungan Peribadi (PPE).

Bacaan udara kembali biasa selepas beberapa jam usaha pengudaraan dijalankan.

Operasi membabitkan 13 anggota dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Tindak Balas Pantas (RRV) itu ditamatkan sepenuhnya pada 3.37 pagi.

JBPM turut mengesahkan bahawa kejadian itu hanya tertumpu di kawasan kilang berkenaan dan tidak merebak ke kilang bersebelahan atau kawasan perumahan berhampiran, sekali gus menafikan sebarang risiko meluas kepada masyarakat setempat.

Dalam perkembangan lain, JBPM Johor memaklumkan tiga pekerja cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah kilang di Jalan Rumbia 2, Kampung Tanjung Langsat, pada 1 Oktober.

Menurut JBPM, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.53 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Pasir Gudang dengan bantuan BBP Johor Jaya dikerah ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer.

“Setibanya di tempat kejadian pada 5.12 pagi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah mesin tapak resin di dalam kilang bersaiz 200 x 400 x 40 kaki.

“Kebakaran ini mengakibatkan kemusnahan kira-kira 20 peratus struktur bangunan kekal tersebut,” kata JBPM Johor.

Operasi yang diketuai Encik Sarhan, melibatkan 18 anggota dengan kekuatan dua jentera FRT, sebuah Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan sebuah unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan bagi mengawal api sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 6.27 pagi.

Operasi ditamatkan pada 6.33 pagi.

Dalam kejadian itu, tiga mangsa dipercayai cedera dan telah dihantar ke hospital berhampiran oleh KKM sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai mangsa masih belum diperoleh.

JBPM Johor memaklumkan punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg