Sebuah syarikat berasaskan oleo kimia di Pasir Gudang dikenakan denda RM170,000 ($51,303) selepas didapati bersalah atas empat tuduhan melepaskan efluen (sisa buangan cecair) perindustrian melebihi piawaian yang ditetapkan ke perairan pedalaman.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff, berkata syarikat tersebut didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 16 Mei di bawah Peraturan 11(1)(b) dan 12(b) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
“Pengurus syarikat berkenaan telah membuat pengakuan bersalah terhadap kesemua empat tuduhan dan syarikat tersebut disabitkan kesalahan oleh Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan pada 19 Mei.
Menurut beliau, denda keseluruhan sebanyak RM170,000 telah dikenakan terhadap syarikat berkenaan.
Dalam satu kes berasingan, JAS Cawangan Pasir Gudang pula telah menjalankan siasatan susulan aduan awam mengenai pelupusan haram buangan terjadual di sebuah gudang terbiar dalam kawasan perindustrian Pasir Gudang.
“Hasil siasatan mendapati terdapat buangan terjadual yang ditanam di kawasan semak berhampiran sebuah premis pembuatan minyak bahan api,” ujar Dr Mohd Famey.
Sebanyak tiga pensampelan buangan telah dilakukan dan dianalisis oleh Jabatan Kimia Negeri Johor bagi tujuan siasatan.
Berikutan penemuan itu, tiga individu – termasuk seorang pengarah urusan dan dua pengurus kilang – ditahan di bawah Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk siasatan lanjut.
Mereka disiasat atas kesalahan mencemarkan tanah mengikut Seksyen 24(1) dan pelupusan haram buangan terjadual di bawah Seksyen 34B(1)(a) akta sama.
Dr Mohd Famey mengingatkan semua pihak industri agar sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan berkaitan.
“Kegagalan mematuhi undang-undang boleh membawa kepada tindakan perundangan, bukan sahaja terhadap syarikat, malah juga ke atas pengarah dan pihak pengurusan yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang awam supaya melaporkan sebarang kegiatan pencemaran alam sekitar kepada pihak JAS.
“Aduan boleh dibuat melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari, atau menerusi e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg