PONTIAN (Johor): Seorang bayi berusia lapan bulan koma selepas mengalami pendarahan otak disyaki akibat didera ibu kandungnya dan teman lelaki wanita berkenaan.
Bayi lelaki itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, selepas tidak sedarkan diri ketika dibawa ke HSA.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib, berkata pemeriksaan fizikal ke atas bayi malang itu juga menemui kesan kecederaan di dahi dan lebam pada bahagian mata.
Beliau berkata kejadian dera itu terbongkar selepas wanita itu membawa mangsa ke sebuah klinik swasta di Pontian, Johor, untuk menerima rawatan selepas tidak sedarkan diri.
“Pihak klinik menasihati ibu mangsa supaya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pontian.
“Pasukan perubatan Hospital Pontian melakukan pemeriksaan ke atas bayi berkenaan dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri disyaki ada unsur penderaan sebelum membuat laporan polis pada 9.15 pagi 24 Julai,” katanya, lapor Kosmo!.
Encik Mohammad Shofee berkata mangsa kemudian dirujuk ke HSA dan pemeriksaan mendapati bayi tersebut tidak sedarkan diri kerana mengalami pendarahan otak akibat kekurangan oksigen.
Susulan laporan itu, Encik Mohammad Shofee berkata ibu bayi yang berusia 26 tahun telah ditahan di HSA, manakala teman lelakinya berusia 24 tahun menyerah diri Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Pontian pada 24 Julai.
Katanya, kededua mereka yang merupakan pasangan kekasih tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.
“Mereka berdua yang tinggal di Taman Nilam di sini, ditahan reman selama tujuh hari sehingga 31 Julai bagi siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 ($14,399) atau penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kejadian itu berlaku tidak lama selepas dilaporkan pada 25 Julai, seorang bayi perempuan berusia dua bulan patah kaki disyaki akibat didera di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Menyusuli kejadian, pengasuh bayi berkenaan iaitu wanita berusia 36 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan, selepas ibu bapa bayi itu membuat laporan polis pada 21 Julai lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg