Bayi dalam jagaan taska di hospital di Pulau Pinang maut, keluarga tuntut keadilan
Bayi dalam jagaan taska di hospital di Pulau Pinang maut, keluarga tuntut keadilan
SEBERANG JAYA (Pulau Pinang): Seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang ditempatkan di pusat jagaan kanak-kanak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang, dilaporkan meninggal dunia pada 9 Mac.
Keluarganya menuntut keadilan selepas mendakwa kemungkinan terdapat unsur penderaan.
Bayi berusia empat bulan itu, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 4 pagi, selepas dihantar ke pusat berkenaan pada malam sebelumnya.
Ibunya, Cik Ummu Habibah Wahab, 40 tahun, seorang jururawat di hospital berkenaan, sedang bekerja syif malam.
Doktor melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira sejam, tetapi mangsa tidak dapat diselamatkan.
Bayi itu adalah anak tunggal Cik Ummu Habibah dan suaminya, Encik Mohd Syafaeez Mat Liki, 35 tahun, seorang peniaga dari Terengganu, dan baru dihantar ke pusat berkenaan apabila wanita itu kembali bekerja selepas menamatkan tempoh berpantang.
Bapa saudara bayi itu, Encik Ahmad Lutfihadi Wahab, 31 tahun, berkata Cik Ummu Habibah memaklumkan menerima panggilan yang melaporkan bahawa wajah anaknya kebiruan.
“Kami bergegas ke Jabatan Kecemasan, tetapi bayi itu meninggal dunia semasa CPR,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Encik Lutfihadi berkata beliau berjaya mendapatkan akses rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat jagaan berkenaan yang beroperasi 24 jam, yang dipercayainya menunjukkan berlaku kes penderaan dan buli.
Menyusuli kejadian itu, dua pekerja pusat jagaan kanak-kanak berkenaan berusia 22 tahun direman seminggu bermula 10 Mac, bagi membantu siasatan.
Sementara itu Encik Mohd Syafaeez yang berduka dengan kejadian itu menegaskan keluarganya tidak akan memaafkan individu bertanggungjawab terhadap kematian Hayl Haarith, dan akan menuntut keadilan hingga ke penghujungnya.
Beliau segera memandu pulang dari Terengganu dan tiba di hospital kira-kira 1 tengah hari 9 Mac sebaik menerima berita daripada isterinya itu.
Encik Mohd Syafaeez mendedahkan individu yang dipercayai bertanggungjawab terhadap kematian anaknya itu ada meminta untuk melihat bayi berkenaan selepas meninggal dunia, namun permintaan itu ditolak oleh keluarganya.
“Dia mahu melihat bayi kami, tetapi keluarga kami tidak membenarkannya.
“Sebagai seorang bapa, saya akan mengambil tindakan. Saya akan menuntut keadilan hingga ke penghujungnya supaya keluarga lain tidak mengalami nasib yang sama,” katanya.
Jenazah Hayl Haarith dibawa pulang ke Terengganu dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelulut, Marang, pada 10 pagi 10 Mac.

