Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi maut di taska KL disahkan tersedak makanan, susu

May 29, 2025 | 10:30 AM
Bayi tujuh bulan, Muammar Adli, yang ditemui tidak sedarkan diri di taska dekat Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia akibat tersedak makanan dan susu.
Bayi tujuh bulan, Muammar Adli, yang ditemui tidak sedarkan diri di taska dekat Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia akibat tersedak makanan dan susu. - Foto PIXABAY

KUALA LUMPUR: Hasil bedah siasat terhadap bayi lelaki berusia tujuh bulan yang meninggal dunia di sebuah taska di Taman Danau Kota, Kuala Lumpur, mengesahkan punca kematian disebabkan tersedak makanan dan susu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata siasatan forensik yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 27 Mei mendapati makanan dan susu masuk ke saluran pernafasan mangsa sehingga menyebabkan kematian.

“Punca kematian dikenal pasti sebagai Aspnyxia due to food and milk aspiration (sesak nafas akibat tersedak susu dan makanan yang masuk ke saluran pernafasan),” katanya dalam satu kenyataan ringkas pada 28 Mei, lapor Berita Harian Malaysia.

Encik Syahrul Anuar berkata menyusuli itu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Dalam kejadian pada 26 Mei lalu, bayi lelaki dikenali sebagai Muammar Adli ditemui tidak sedarkan diri di taska yang beroperasi di Taman Danau Kota sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 11.08 pagi.

Polis menerima laporan daripada bapa mangsa di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur, pada 1.26 tengah hari pada hari sama.

Sebelum ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan taska berkenaan memiliki lesen sah dan sudah memperbaharui pendaftarannya pada 24 Januari lalu, yang sah hingga 23 Januari 2030.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan, dilaporkan berkata JKM mengambil maklum insiden itu dan siasatan dalaman akan dijalankan secara telus serta menyeluruh.

Ibu bayi berkenaan, Cik Nur Farihah Meor Mazli, 29 tahun, berkata beliau reda dengan pemergian anak tersayang, namun kesedihan itu masih dirasai sehingga kini dan berharap kematian anaknya itu mendapat keadilan sewajarnya. 

Difahamkan, bayi itu dihantar ke taska berkenaan sejak Mac lalu.

“Saya masih teringat memori bersama anak. Cuma saya sentiasa ingatkan diri bahawa anak ini adalah pemberian Allah dan Dia berhak ambil semula. Bayi masih tidak berdosa. Itu yang menjadi pujukan diri,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg