Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bayi maut di KL sah didera, tengkorak retak

Aug 4, 2025 | 11:31 AM
Bayi didera, maut, KL
Tempat kejadian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan ditemukan maut akibat didera di Cheras, Kuala Lumpur. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia tujuh bulan yang ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan di rumah keluarganya pada 30 Julai lalu, disahkan meninggal dunia akibat tengkorak retak, dipercayai akibat penderaan berterusan oleh ibu angkatnya sejak sebulan lalu.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata suspek dipercayai bertindak demikian kerana tertekan dengan tangisan bayi perempuan itu.

“Mengikut hasil bedah siasat mendapati terdapat pelbagai kecederaan kepada keseluruhan badan terutama bahagian kepala yang mengalami retak tengkorak.

“Kematian berpunca daripada penderaan dan penganiayaan yang berterusan sejak sebulan lalu,” katanya, lapor Harian Metro.

Terdahulu media melaporkan seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan kebiruan dan lebam pada badannya dekat ruang tamu rumahnya di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, pada malam 30 Julai.

Datuk Mohamed Usuf dilapor berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki pada 9.34 malam memaklumkan anak angkatnya tidak sedarkan diri di kediaman mereka.

Suami isteri berusia 38 dan 50 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).

Dalam perkembangan berasingan, ibu kepada seorang pelajar berusia 13 tahun yang meninggal dunia dipercayai kerana dibuli dan didera di sekolah dekat Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu, membuat satu lagi laporan polis berhubung kematian anaknya pada 17 Julai.

Cik Noraidah Lamat, 45 tahun, membuat laporan di Balai Polis Sipitang, Sabah, selepas beliau teringat semula melihat kesan lebam pada belakang badan anaknya, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, ketika memandikan jenazah anaknya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai.

Menurut peguam mewakili mereka, Encik Hamid Ismail dan Encik Shahlan Jufri, ibu mangsa memaklumkan beliau sendiri melihat kesan lebam itu semasa memandikan jenazah bersama beberapa wanita lain.

“Anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini dalam laporan polisnya sebelum ini kerana dia terlupa sepenuhnya mengenainya.

“Beliau hanya teringat semula kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau kelmarin (1 Ogos) berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan olehnya,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg