Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa individu ditahan dalam serbuan ke atas kumpulan GISBH oleh polis M’sia

Sep 21, 2024 | 5:33 PM
Lebih 10 individu yang dikatakan berusia antara enam hingga 60 tahun telah dibawa ke ibu pejabat polis Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan ke atas beberapa unit perniagaan di Rawang, Selangor.
Lebih 10 individu yang dikatakan berusia antara enam hingga 60 tahun telah dibawa ke ibu pejabat polis Selangor untuk proses dokumentasi dalam satu serbuan ke atas beberapa unit perniagaan di Rawang, Selangor. - Foto REUTERS

GOMBAK (Selangor): Lebih 10 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditahan susulan serbuan polis di beberapa perniagaan dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di pinggir bandar di negeri Selangor, Malaysia, pada 21 September.

Sebaik operasi tamat di sebuah pusat komersial di Bandar Country Homes di pekan Rawang, di daerah Gombak, individu yang dikatakan berusia antara enam hingga 60 tahun itu dibawa ke ibu pejabat polis Selangor menaiki enam van dan tiga kereta untuk proses dokumentasi.

Operasi bermula 6.30 pagi itu melibatkan 250 pegawai polis Selangor, Unit Simpanan Persekutuan, Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Beberapa perniagaan telah diperiksa termasuk kedai percetakan, klinik, hotel, kedai roti, bengkel, pusat media dan restoran dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

MPS turut merobohkan beberapa bangunan haram dan mengeluarkan notis penutupan serta-merta kepada 16 premis.

Daripada 16 premis itu, 12 didapati beroperasi tanpa lesen yang sah, manakala empat lagi telah melanggar syarat pelesenan.

Polis dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memeriksa lima rumah dua tingkat yang dipercayai didiami anggota GISBH, di kawasan Bandar Tasik Puteri berhampiran di Rawang.

Bagaimanapun, rumah-rumah di kawasan perumahan berpagar dan berkawal itu didapati terbiar.

Para penghuni itu dipercayai meninggalkan rumah sebelum ketibaan pihak berkuasa pada 21 September.

Di salah sebuah rumah, yang dipercayai rumah jagaan menempatkan sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak, terdapat beg pakaian dan basikal kanak-kanak diletakkan di anjung.

Rumah yang sama juga mempunyai lebih 10 ekor burung puyuh di dalam reban dan kawasan belakang yang diubah suai menjadi tempat mandi.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, beliau sering melihat kanak-kanak yang tinggal di salah sebuah rumah tersebut bermain di taman permainan berhampiran.

“Mereka sering berkumpul di taman permainan atau perkarangan rumah. Bagaimanapun, mereka tidak kelihatan sejak Khamis (19 September),” katanya.

Operasi itu dijalankan ketika Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melahirkan rasa kecewa dan kesal atas tindakan yang tidak berkesan terhadap GISBH.

Di Johor, Majlis Agama Islam negeri dan polis telah memulakan siasatan terhadap kegiatan dan operasi GISBH.

Kerajaan negeri menggesa orang ramai, termasuk ahli GISBH, tampil mengemukakan sebarang maklumat berkaitan yang boleh membantu siasatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Encik Mohd Fared Mohd Khalid.

Pada 19 September, 19 orang, termasuk ketua eksekutif GISBH, isterinya dan ahli keluarga lain, ditahan polis susulan serbuan di empat unit kediaman di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Polis telah membekukan 96 akaun bank melibatkan GISBH, dengan dana RM581,552 ($178,400).

Pada 11 September, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak – 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur satu hingga 17 tahun – dari 20 rumah jagaan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi menyelamat Ops Global.

Terdapat dakwaan kanak-kanak itu didera, dieksploitasi dan diserang secara seksual.

Seramai 171 suspek berusia antara 17 dengan 64 tahun ditahan termasuk seorang guru dan penjaga asrama. - Agensi Berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg