Seorang bekas pekerja Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mendakwa tidak pernah menerima gaji sepanjang tempoh 10 tahun bekerja dengan syarikat itu.
Media melaporkan pada peringkat awal bekerja, terdapat satu sistem digunakan syarikat bagi membayar pekerja itu antara RM50 ($15.24) dengan RM100 seminggu.
“Itu yang saya ingatlah waktu itu... sampai 2013 macam tu. Lepas itu 2014, saya sudah mula bekerja sepenuh masa, tiada gaji. Maknanya, saya cuma diberi makan minum dan tempat tinggal,” kata bekas pekerja itu.
Beliau kemudian berhenti kerja dan membawa kesnya ke Mahkamah Buruh.
Pada 8 September lalu, mahkamah memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada beliau sebagai sebahagian daripada tuntutan kes.
Seorang lagi ahli GISBH mendakwa syarikat itu mengamalkan sistem perhambaan dalam menjalankan operasi kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif keagamaan itu.
Antaranya, setiap ahli GISBH dipaksa mencari dana untuk memenuhkan tabung jemaah atau syarikat, walaupun perlu bekerja sepenuh masa tanpa dibayar gaji, demikian dakwa bekas ahli GISBH berkenaan.
Lelaki yang hanya dikenali sebagai Raja Suhaimi itu mendakwa ramai ahli GISBH dizalimi dalam sistem yang lebih kepada perhambaan dengan orang atasan menjalani kehidupan dengan rumah dan kereta mewah, manakala orang bawahan mahu berjumpa pasangan pun perlu tunggu giliran dan diaturkan.
“(Mereka) mewujudkan banyak rumah dan badan amal kebajikan yang juga antara kaedah mendapatkan pendapatan yang banyak daripada masyarakat awam.
“GISBH mengamalkan sistem ma’ash (keperluan), menggantikan sistem pendapatan dengan pekerja perlu kerja sepanjang hari dan melakukan pelbagai pekerjaan, kerja lebih masa atau dihantar ke luar negara, namun tidak diberikan gaji dalam bentuk wang.
“Mereka diberi makan, minum dan tempat tidur, selain perkahwinan diuruskan sesama ahli,” ujarnya menerusi catatan di Facebook.
Mengenai pemilihan kepimpinan, Raja Suhaimi mendakwa pemimpin GISBH kononnya dilantik Rasulullah saw, Imam Mahadi dan guru mursyid daripada alam ghaib dengan amalan itu dikatakan sebagai model sistem pentadbiran organisasi terbabit.
Katanya, kepimpinan disusun mirip organisasi syarikat biasa, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa, selain pemilihan pemimpin dibuat melalui tahap ketakwaan paling tinggi di zamannya.
“Mereka sering mendakwa dapat berhubung dengan Rasulullah dalam bentuk yaqazah (dalam keadaan sedar). Ada arahan tertentu, kononnya dari Rasulullah dan Imam Mahadi termasuk rombakan Kabinet bayangan daulah (penguasa tertinggi),” katanya.
Sementara itu, Raja Suhaimi berkata amalan nikah syariah didakwa diamalkan jemaah sendiri dikatakan lebih sah dan diberkati kerana wali yang menikahkan adalah mukmin sejati, bukannya orang luar yang fasik.
Beliau mendakwa ada segelintir jemaah mendaftarkan perkahwinan dengan jabatan agama hanya selepas beberapa bulan disahkan mengandung, menyebabkan anak mereka berbin atau berbintikan Abdullah.
“Terutama (pasangan) berpoligami. Berkahwin serta bercerai semuanya atas arahan pemimpin dan jemaah, bahkan pernah anggota jemaah diarahkan bercerai beramai-ramai dalam satu majlis, kononnya proses didikan sang mujaddid (seseorang yang dipercayai dihantar oleh Allah).
“Isteri atau suami serta anak yang keluar (daripada komuniti GISBH) dan mengkritik kesalahan serta kemungkaran jemaah akan dipisahkan daripada pasangan dan keluarga mereka. Ada yang dibawa lari ke luar negara,” dakwanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg