Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa keperluan asas rakyat seperti bekalan air dan elektrik akan terus menjadi keutamaan dan tidak akan dikompromi meskipun negeri ini menyaksikan kemasukan pelaburan strategik yang semakin rancak, khususnya di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata setiap pelaburan berskala besar termasuk pusat data dan industri berintensif tinggi hanya akan dipertimbangkan selepas melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan ia tidak menjejas bekalan sedia ada yang dinikmati rakyat.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ (RSAJ) bagi membincangkan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang berkaitan bekalan air serta elektrik di Johor.
Datuk Onn Hafiz berkata, TNB memaklumkan bahawa bekalan elektrik di kawasan JS-SEZ berada pada tahap mencukupi dan terkawal.
“Sehingga Disember 2025, kapasiti terpasang bekalan elektrik di kawasan berkenaan ialah sebanyak 3,885 megavolt ampere (MVA), dengan permintaan semasa sekitar 1,272 megawatt (MW), bersamaan kadar penggunaan kira-kira 72.76 peratus yang masih berada dalam margin operasi sihat.
“Bagi memastikan kesiapsiagaan jangka panjang, TNB turut merancang pembangunan prasarana grid secara berperingkat, melibatkan empat Pencawang Masuk Utama (PMU) yang telah diluluskan dengan kapasiti 630 MVA, serta sembilan PMU tambahan dalam perancangan berkapasiti 1,620 MVA.
“Pendekatan ini akan memastikan setiap pelaburan baru di JS-SEZ disokong oleh kapasiti tambahan yang dirancang, tanpa menjejas bekalan elektrik sedia ada untuk rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Januari.
Mengenai bekalan air pula, Datuk Onn Hafiz berkata kawasan JS-SEZ yang merangkumi daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian melibatkan enam pihak berkuasa tempatan, merekodkan jumlah peruntukan kapasiti bekalan air sebanyak 1,488 juta liter sehari (JLH) setakat Januari 2026.
Daripada jumlah itu, pengeluaran semasa adalah sekitar 1,261 JLH, sekali gus menyediakan kapasiti rizab kira-kira 227 JLH atau 15 peratus bagi menampung keperluan semasa serta memastikan keselamatan dan kesinambungan bekalan air di kawasan berkenaan.
Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek ‘rezoning’ bernilai RM1.02 bilion bagi meningkatkan kecekapan sistem agihan air terawat, melibatkan tambahan kapasiti 260 JLH, khususnya di Iskandar Puteri dan Sedenak.
Selain itu, Johor turut merancang dan melaksanakan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baru serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan kerjasama RSAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Menurutnya, projek-projek berkenaan akan dibangunkan secara berperingkat bagi memastikan kapasiti bekalan air Johor bukan sahaja mencukupi untuk keperluan semasa, malah bersedia menyokong pertumbuhan negeri sehingga tahun 2035.
“Secara keseluruhan, semua projek ini akan menyediakan lebih 1,100 JLH kapasiti baru, memastikan bekalan air Johor kekal mencukupi, stabil dan selamat untuk rakyat, di samping menyokong pembangunan industri dan ekonomi negeri dalam jangka panjang,” katanya.
Datuk Onn Hafiz menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor kekal komited memastikan setiap pelaburan dilaksanakan secara terancang, bertanggungjawab dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Bekalan air dan elektrik adalah hak asas penduduk Johor, dan ia akan terus menjadi pertimbangan utama dalam setiap keputusan pembangunan negeri,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg