Tahun 2025 menyaksikan Malaysia melalui tempoh yang sarat dengan cabaran sosial, kontroversi nasional dan langkah pembaharuan, di samping memperkukuh kedudukannya di peringkat serantau, termasuk menerusi Asean dan hubungan strategik dengan Singapura.
Awal 2025 bermula dengan ujian alam apabila Johor dilanda banjir besar pada Mac susulan taburan hujan luar biasa, sebelum dikejutkan pula dengan gempa bumi lemah bermagnitud 4.1 di Segamat pada Ogos, meningkatkan kepekaan terhadap risiko bencana dan perubahan iklim semula jadi.
Selain banjir di beberapa negeri yang mengakibatkan lebih 30,000 penduduk terpaksa berpindah pada November, ribut tropika Senyar – yang dianggap fenomena luar biasa apabila mula memasuki Selat Melaka – juga menggamit tumpuan dunia meteorologi.
Bencana itu meninggalkan kesan yang teruk termasuk tanah runtuh di beberapa negeri khususnya Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Isu sosial turut menjadi antara sorotan utama 2025 apabila beberapa kes buli dan jenayah di sekolah mencetuskan kemarahan dan kebimbangan awam.
Kematian seorang pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Allahyarhamha Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai menjadi mangsa buli dan deretan lagi kes buli, di samping kes jenayah berat termasuk rogol dan bunuh membabitkan pelajar sekolah, mendorong kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang Anti Buli.
Malah, kerajaan juga dijangka melaksanakan larangan membuka akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun. Perkembangan ini menandakan kesedaran baru terhadap keperluan melindungi golongan muda dalam era digital.
Peranan Malaysia di peringkat serantau turut menjadi sorotan apabila menjayakan Kepengerusian Asean ke-47, termasuk menyaksikan detik bersejarah penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 Asean, selain kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, semasa sidang puncak Asean pada akhir Oktober itu.
Malah, dengan jawatan Pengerusi Asean, Malaysia turut berjaya memainkan peranannya sebagai penyelaras rundingan di Putrajaya untuk meredakan ketegangan pertikaian sempadan antara Thailand dengan Kemboja, yang telah mengakibatkan pertumpahan darah.
Malaysia juga diwarnai beberapa siri bantahan antaranya Himpunan Turun Anwar yang disertai ribuan peserta di Kuala Lumpur pada Julai, menuntut pemimpin itu melepaskan jawatan perdana menteri kerana didakwa gagal mengurus tekanan ekonomi negara.
Himpunan Tolak Trump pula berlangsung di Kuala Lumpur ketika Malaysia menyambut kehadirannya, sebagai simbolik perpaduan masyarakat terhadap penderitaan dan penindasan Palestin yang masih berlarutan.
Di sebalik cabaran dalaman, hubungan dua hala dan kerjasama dengan Singapura terus diperkukuh melalui lawatan rasmi dan rahat pemimpin.
Ia termasuk pemeteraian Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan usaha penambahbaikan khidmat pengangkutan darat seperti teksi, bas serta projek Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) yang dijangka mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.
JS-SEZ juga dijangka menjadi pemangkin utama pelaburan dan pertumbuhan ekonomi rentas sempadan, dengan pelan induk komprehensif dijangka dimuktamad dan diumumkan pada awal 2026.
Di arena sukan pula, bola sepak Malaysia berdepan krisis terbesar apabila tujuh pemain warisan digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akibat dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan asal usul dan status warga negara.
Dalam dokumen penghakiman kes berkenaan, Fifa menegaskan tujuh pemain itu – Facundo Garces; Imanol Machuca; Hector Hevel; Gabriel Palmero; Rodrigo Holgado; Joao Figueiredo dan Jon Irazabal tidak memiliki pertalian darah dengan Malaysia.
Ini sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap ketelusan tadbir urus Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tambah mengesankan apabila Fifa pada 17 Disember turut mengisytiharkan Malaysia kalah 3-0 bagi tiga perlawanan yang sebelum ini dimenangi menentang Singapura dan Palestin, selain seri dengan Cape Verde, kerana menurunkan pasukan yang disertai pemain berkenaan.
Dalam dunia hiburan pula, perkahwinan pelakon kacak, Fattah Amin, dan penyanyi Amira Othman muncul sebagai fenomena. Sementara primadona filem Melayu, Erra Fazira, pula menamatkan 10 tahun zaman solonya selepas sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, pada 12 Disember, menutup 2025 dengan naratif lebih ringan.
Secara keseluruhan, 2025 menjadi tahun peralihan yang memperlihatkan Malaysia bergelut dengan pelbagai isu dalaman, namun terus melangkah ke hadapan dengan kerjasama serantau dan reformasi berperingkat bagi 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg