JOHOR BAHRU: Bekalan air dari Empangan Machap dijangka dapat bertahan sehingga awal November, bergantung kepada keadaan cuaca dan paras sumber air, meskipun empangan itu mengalami penyusutan sejak awal Ogos.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata paras air di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih berada pada tahap normal dan bekalan kepada pengguna setakat ini terkawal.

“Pemantauan rapi akan terus dilakukan bagi memastikan bekalan kepada rakyat kekal stabil,” katanya dalam kenyataan pada 21 September selepas meninjau Empangan Machap.

Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan melaksanakan operasi pembenihan awan dari 21 hingga 24 September di kawasan sasaran, termasuk sekitar Empangan Machap.

Beliau berkata sistem pemindahan air mentah dari Kolam Yong dan Empangan Machap ke Ulu Sungai Benut juga akan diaktifkan bagi menambah aliran keseluruhan sebanyak 25 juta hingga 30 juta liter sehari.

Selain itu, ketinggian pintu air di LRA Simpang Renggam akan dinaikkan bagi membantu mengekalkan paras air di muka sauk loji berkenaan.

“Saya memahami kebimbangan rakyat dalam menghadapi keadaan cuaca ketika ini.

“Kerajaan negeri bersama semua agensi berkaitan akan terus memantau keadaan dan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan keperluan air rakyat diberi keutamaan,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, syarikat air, Ranhill SAJ, berkata Empangan Machap membekalkan air mentah kepada LRA Simpang Renggam yang berkapasiti 64 juta liter sehari.

“Loji ini merupakan nadi kepada bekalan air terawat bagi kawasan Simpang Renggam, Machap, Pontian Utara dan sebahagian selatan Batu Pahat,” menurut syarikat bekalan air itu.

Ranhill SAJ berkata antara langkah yang dirancang ialah mengaktifkan pontun (platform terapung) dari Kolam Yong ke Ulu Sungai Benut untuk menyalurkan tambahan 10 juta liter air mentah sehari, selain menggunakan tiga pam pemindahan air dari Empangan Machap ke sungai berkenaan.

Pontun dari Empangan Machap ke Ulu Sungai Benut yang berkapasiti 15 juta liter sehari juga akan diaktifkan, di samping usaha menaikkan paras pintu muka sauk Simpang Renggam.

Syarikat itu menasihatkan pengguna supaya menggunakan air secara berhemah sementara langkah pemantauan dan penyaluran air tambahan dilaksanakan.