Cuaca kering berpanjangan: Johor gerakkan bantuan kecemasan
Cuaca kering berpanjangan: Johor gerakkan bantuan kecemasan
Paras sungai dan empangan utama yang terjejas cetus langkah bagi menstabilkan bekalan air di beberapa kawasan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menggerakkan pelbagai langkah kecemasan bagi menstabilkan bekalan air di beberapa kawasan berikutan cuaca kering berpanjangan yang menjejaskan paras sungai dan empangan utama negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ini termasuk operasi pembenihan awan yang akan dilaksanakan pada 11, 12 dan 15 Februari ini di Empangan Machap, Layang dan Ulu Sungai Sedili Kecil dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Tambahnya, paras Sungai Benut kini berada pada tahap minimum manakala Empangan Machap pula berada di bawah paras operasi selamat, sekali gus menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam hanya mampu beroperasi pada sekitar 34 peratus kapasiti.
“Walaupun keadaan berpunca daripada fenomena cuaca kering berpanjangan, Kerajaan Negeri telah dan sedang menggerakkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Februari.
Katanya, antara langkah segera ialah pengukuhan operasi loji rawatan air bagi memastikan bekalan terus dapat disalurkan kepada pengguna.
Tambahnya, LRA Yong Peng kini menyalurkan tambahan 4 juta liter sehari bagi membantu menstabilkan bekalan, manakala pemasangan sistem pontun di Empangan Machap sedang dilaksanakan untuk menyalurkan sehingga 20 juta liter sehari ke Sungai Benut bagi menyokong operasi LRA Simpang Renggam.
Dalam masa sama, operasi penghantaran bekalan air turut dipertingkatkan melalui mobilisasi lori tangki.
Sebanyak 28 lori tangki air kini beroperasi di daerah Kluang dan Pontian, manakala tambahan 14 lori tangki dari luar Johor dijangka tiba bagi memperkukuh operasi bantuan.
“Bantuan negeri lain turut menyumbang 15 lori tangki tambahan khusus untuk kawasan Pontian dan Simpang Renggam,” katanya.
Bagi memastikan akses air asas terus tersedia kepada masyarakat terjejas, kerajaan negeri turut menempatkan 41 tangki air statik di lokasi keutamaan melibatkan sembilan lokasi di Kluang serta 32 lokasi di Pontian.
Selain itu, pengedaran air mineral turut difokuskan kepada kawasan hujung sistem serta masyarakat berisiko tinggi seperti sekolah, klinik dan penempatan padat.
Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri menyedari kesulitan yang dialami penduduk, namun semua agensi sedang bekerja tanpa henti bagi memastikan tiada rakyat terjejas tanpa bantuan.
“Saya sedar dan insaf bahawa segala usaha ini belum mampu menghilangkan sepenuhnya kesulitan yang dirasai. Tetapi percayalah, setiap agensi bekerja tanpa henti supaya tiada rakyat Johor yang dibiarkan tanpa bantuan,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menggunakan air secara berhemah serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kawasan yang memerlukan perhatian segera.
“Marilah kita sama-sama berjimat menggunakan air dan salurkan maklumat jika ada kawasan yang memerlukan perhatian segera. Kita berdoa agar hujan turun dan memenuhkan kembali sungai serta empangan kita,” katanya.

