JOHOR BAHRU: Bekalan kelapa dalam pasaran di Johor berkurangan 30 peratus susulan kemasukan kelapa import yang lembap susulan cuti Aidilfitri panjang di Indonesia.
Keadaan itu menjejas peniaga santan segar di sekitar Johor Bahru yang kini menghadapi kesulitan mendapatkan bekalan kelapa yang mencukupi dan kebimbangan kemungkinan harga bahan masakan itu melonjak seperti yang berlaku di negeri lain di Malaysia.
Peniaga santan di Pasar Awam Perling di Johor Bahru, Encik Yusri Abdul Hamid, berkata bekalan kelapa tempatan yang terhad dan tidak mencukupi turut menyebabkan berlaku kekurangan bekalan kelapa untuk menghasilkan santan segar.
Katanya kebanyakan penjual santan terpaksa mendapatkan bekalan kelapa daripada banyak sumber pengimport Indonesia, selain tambahan daripada ladang tempatan bagi memastikan jualan santan tidak terjejas.
“Pengimport kelapa memberi jaminan bekalan akan beransur pulih selepas kebanyakan pekerja Indonesia mula bekerja minggu hadapan.
“Bagaimanapun, pengimport turut memaklumkan kemungkinan harga kelapa ke Johor akan mengalami kenaikan hujung April ini, susulan bekalan bahan mentah itu menerima permintaan tinggi dari China dan negara jiran kita,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Ditanya sama ada keadaan itu akan menyebabkan kenaikan harga santan segar di Johor, Encik Yusri berkata harga santan segar di negeri itu masih kekal pada harga RM17 sekilogram setakat ini.
Katanya ia berbeza dengan harga santan segar di beberapa negeri di utara Malaysia yang kini melonjak kepada RM20 sekilogram ketika ini, berikutan bekalan kelapa yang masih belum stabil.
“Bagaimanapun jika pengimport menaikkan harga kelapa di Johor, selepas ini, peniaga santan segar tiada pilihan dan terpaksa menaikkan harga santan mengikut harga bahan mentah yang dibekalkan.
“Peniaga santan segar di Johor risau dengan perkembangan terbaru ini terutama pengguna yang sudah pasti akan marah jika berlaku kenaikan harga santan seperti yang berlaku di negeri sebelah utara Malaysia.
“Namun kami tiada pilihan selain menaikkan harga santan segar di Johor, jika pengimport menaikkan harga kelapa pada akhir April ini,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg