Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beratur 1 jam untuk bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru

Masjid di KL agih 3,000 pek bubur setiap hari sepanjang Ramadan
Mar 9, 2025 | 5:30 AM
Bubur lambuk istimewa Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang diagihkan secara percuma setiap hari sepanjang Ramadan menjadi rebutan warga kota.
Bubur lambuk istimewa Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang diagihkan secara percuma setiap hari sepanjang Ramadan menjadi rebutan warga kota. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Berdiri di samping api dalam dapur selama tiga jam, sambil tubuh meresap bahang haba panas untuk memasak bubur lambuk menjadi rutin pada setiap Ramadan buat lebih 10 petugas dan sukarelawan di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Seawal 6.30 pagi usai waktu subuh, dapur di Masjid Jamek Kampung Baru sudah mula sibuk dan riuh dengan lebih 10 petugas memulakan aktiviti memasak bubur lambuk tradisi itu, yang begitu sinonim sebagai menu warisan masjid itu sejak lebih 100 tahun lalu.

Bermula dengan proses penyediaan bahan mentah, aktiviti menumis dan memasak bubur lambuk bermula pada 7.30 pagi selama kira-kira tiga jam.

Kemudian, proses diikuti tugas membungkus pada 11 pagi hingga 2 petang sebelum bubur-bubur itu diagihkan kepada orang ramai usai solat asar, dan rutin itu dilalui Cik Norhisham Amiruddin, 65 tahun, bersama petugas dan sukarelawan lain sepanjang Ramadan.

Cik Norhisham, yang berpengalaman kira-kira 10 tahun memasak bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru dan kembali mengetuai tugas memasak menu popular itu pada 2025, berkata proses penyediaan bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru yang hanya boleh didapati pada Ramadan tidak mudah dan mencabar.

“Memang mencabar kerana keadaan di dapur panas dan membahang, kita pula berpuasa, tak boleh makan dan minum. Tetapi kepuasan memasak untuk menjamu orang ramai makan itu sukar digambarkan, apatah lagi apabila yang makan itu golongan kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM).

Penulis sendiri yang turut mengikuti proses memasak bubur lambuk itu terasa haus dan berpeluh-peluh kerana keadaan di dapur begitu berbahang.

Kongsi Cik Norhisham, setiap satu periuk bubur lambuk memerlukan 15 kilogram (kg) beras, masing-masing 6 kg daging dan santan kelapa, 1 kg udang kering, selain pelbagai rempah ratus dan bahan asas memasak seperti bawang dan halia.

“Kalau ditanya mengapa bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru begitu popular dan menjadi rebutan ramai, jawapannya ialah kerana bahan yang digunakan bermutu tinggi dan segar, selain pengurusan masjid tidak kedekut dalam penyediaan bahan,” kongsinya.

Sejak turun-temurun, Masjid Jamek Kampung Baru amat popular sebagai lokasi bagi orang ramai mendapatkan bubur lambuk percuma sepanjang Ramadan.

Selain kedudukan masjid di satu kawasan ikonik yang mewakili kebudayaan Melayu, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru menjadi simbol warisan makanan tradisional yang banyak dicari pengunjung untuk dijadikan menu berbuka, termasuk dalam kalangan pelancong asing.

Malah, seawal 3.30 petang tanpa menghiraukan keadaan cuaca panas atau hujan, orang ramai setia beratur di pekarangan masjid untuk mendapatkan bubur lambuk, namun agihan hanya bermula selepas masjid selesai solat asar berjemaah.

Lebih menarik, sejak pengurusan masjid diambil alih oleh ikon korporat Muslim, Datuk Mohd Khay Ibrahim, jumlah edaran bubur lambuk semakin meningkat sehingga 3,000 bungkus sehari, malah pihak masjid juga kini mampu menjamu lebih 1,000 jemaah untuk berbuka puasa setiap hari.

Katanya, keunikan dan keistimewaan Masjid Jamek Kampung Baru menarik ramai entiti korporat dan orang perseorangan untuk menyumbang sehingga masjid mampu mengumpul dana berjumlah hampir RM1 juta ($303,573) untuk diinfakkan sepanjang Ramadan ini.

Menurutnya, setiap hari masjid membelanjakan sekitar RM20,000 untuk penyediaan bubur lambuk, manakala untuk juadah berbuka puasa sekitar RM10,000 hingga RM12,000 sehari sepanjang Ramadan. Sumbangan infak turut diagihkan kepada 400 asnaf berupa bantuan tunai dan barangan.

“Alhamdulillah, sumbangan diterima memang semakin bertambah. Walaupun kos bahan mentah meningkat, kita tetap masak antara 15 hingga 20 periuk bubur lambuk setiap hari dan menghasilkan kira-kira 3,000 pek bubur yang mana setiap bungkus boleh dimakan sehingga tiga orang.

“Kita juga ada 30 tukang masak dan sukarelawan, yang mana 10 orang untuk memasak bubur lambuk sejak awal pagi dan 20 lagi untuk menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya sambil menambah bahawa pihak masjid juga menjana pendapatan kerana menerima tempahan bubur lambuk daripada syarikat korporat.

“Buat orang ramai, memang kita edarkan secara percuma, tetapi jika ada syarikat mahukan bubur dalam jumlah banyak, kita kenakan sejumlah bayaran untuk tampung kos penyediaannya,” katanya kepada BM.

Jelas Datuk Mohd Khay, langkah meningkatkan jumlah hidangan berbuka puasa untuk lebih 1,000 orang juga berjaya mengimarahkan masjid dengan jemaah mencecah 2,000 orang untuk menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih berjemaah di masjid.

Seorang anggota polis, Encik Muhammad Akmal Azali Ramli, 30 tahun, berkata sejak kecil lagi, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru sudah begitu popular dan menjadi kegemarannya.

“Jika dulu bapa saya beri saya makan bubur ini, kini saya berikan pada isteri dan anak pula merasa,” katanya yang akan beratur hanya sekali setiap minggu untuk mengambil bubur kerana mahu memberi peluang kepada orang lain merasai keenakan bubur itu.

Penuntut Universiti Utara Malaysia, Cik Hafizah Ahmad Zaini, 23 tahun, pula berkata beliau akan singgah mengambil bubur lambuk itu jika ke bazar Ramadan Kampung Baru untuk membeli juadah berbuka.

“Bubur lambuk di sini memang sedap dan tidak akan dapat rasa bubur sesedap di sini atau di tempat lain. Bahannya mewah dan daging pun seketul-seketul,” katanya yang tinggal di Ampang, Selangor.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg