KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri Malaysia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah kira-kira RM5 juta ($1.5 juta) serta sebuah kereta mewah jenis Lamborghini.
Adalah difahamkan, menteri itu didakwa menerima rasuah berkaitan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.
Kereta mewah itu dikatakan diterima daripada sebuah syarikat pembuat papan iklan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan siasatan dibuka mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
BHM sebelum ini melaporkan seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era pandemik Covid-19, kini berada dalam tumpuan siasatan terbaru SPRM.
Bekas pemimpin terkenal itu pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu dan kini disiasat berikutan dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat di sebuah kementerian.
Dalam satu perkembangan lain, SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan anggota keluarganya bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan perolehan projek TDM.
Tan Sri Azam ketika mengesahkan perkara itu berkata satu kertas siasatan dibuka berhubung kes berkenaan.
“Pegawai SPRM menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit pada 29 Disember bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan.
“Enam akaun bank yang dipegang suspek dan anggota keluarganya telah disita dalam siasatan ini,” katanya.
SPRM tidak menyebut nama pegawai kanan yang sedang disiasat.
Bagaimanapun, Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan pada 27 Disember, memaklumkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, diberi cuti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan kes yang dilaporkan terhadap beliau.
Datuk Mohamed Khaled memaklumkan langkah itu bagi memberi ruang pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilapor membabitkan pegawai berkenaan.
Sementara itu menurut sumber siasatan, SPRM kini memberi tumpuan kepada aliran wang disyaki masuk ke dalam akaun milik pegawai kanan TDM itu yang disiasat sebagai suspek kes rasuah berkenaan.
Selain itu, katanya, SPRM telah menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan serta kediaman rasmi suspek dari 5 petang hingga 12 tengah malam pada 27 Disember.
Sumber turut memaklumkan suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember.
Bagaimanapun, katanya suspek dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Jagaan Rapi (ICU) dan masih menerima rawatan.
“
“Pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit pada 29 Disember bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan. Enam akaun bank yang dipegang suspek dan anggota keluarganya telah disita dalam siasatan ini.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg