KUALA LUMPUR: Seorang bekas menteri yang pernah berkhidmat dalam Kabinet kerajaan sebelum era Covid-19 kini berada dalam fokus siasatan terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bekas pemimpin terkenal itu, yang pernah didakwa di mahkamah atas beberapa kes rasuah beberapa tahun lalu, difahamkan kini berada dalam radar siasatan ekoran dakwaan penyelewengan sewaktu berkhidmat di sebuah kementerian.
Siasatan SPRM ketika ini adalah membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.
Difahamkan, tindakan itu mempunyai unsur-unsur rasuah dan penyelewengan, malah melalui maklumat terbaru yang dilaporkan oleh orang awam itu, menyebabkan SPRM membuka kertas siasatan, biarpun bekas pemimpin itu sudah lama tidak berkhidmat dalam kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan terbaru mengenai kes itu.
Beliau turut mengesahkan beberapa individu penting akan dipanggil untuk membantu siasatan.
“Ya, saya sahkan dan akan memanggil beberapa individu dalam siasatan itu,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia, pada 24 Disember.
Sementara itu, laporan New Straits Times menyebut “SPRM memperoleh maklumat perisikan baru” pada penghujung November lalu, iaitu hampir sedekad selepas penyelewengan itu berlaku.
Sumber berkata selain siasatan terhadap proses pemindahan sebidang tanah milik kerajaan, SPRM juga menyiasat projek pembinaan papan pengiklanan yang dilakukan kementerian itu.
Katanya, siasatan kini masih dijalankan bagi meneliti hubungan antara bekas menteri berkenaan dengan syarikat-syarikat yang terlibat.
Sumber juga berkata siasatan awal mendapati kes ini mencecah nilaian “jutaan ringgit”.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, SPRM sedang dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan. SPRM juga akan memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan.
“Siasatan membabitkan kepentingan awam dan menjadi punca SPRM meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.
“SPRM juga percaya kes ini berpotensi membawa kepada pemulihan kerugian yang berkaitan dengan ketirisan aset dan dana awam,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg