Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes pecah amanah Armada: Rayuan pendakwaan terhadap Syed Saddiq diteruskan

Dec 18, 2025 | 1:38 PM
Malaysia, Syed Saddiq, mahkamah, pecah amanah, Armada
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Arahan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, menerusi sepucuk surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

“Merujuk kepada arahan Yang Amat Arif Presiden Mahkamah Rayuan kepada kedua-dua pihak yang telah diberikan di mahkamah terbuka pada 12 Disember 2025, pihak perayu (pendakwaan) telah mendapatkan pandangan serta arahan daripada Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) berhubung perkara ini.

“Peguam Negara telah mengarahkan supaya rayuan ini diteruskan serta apa jua keputusan mahkamah hendaklah diterima.

“Sehubungan itu, pihak perayu mengekalkan hujahan bertulis dan hujahan lisan yang telah dikemukakan dalam rayuan ini,” ujar surat berkenaan, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Wan Shaharuddin, yang yakin dengan kekuatan kes pendakwaan, berkata surat itu telah dihantar kepada mahkamah pada 9.10 pagi, 17 Disember.

“Kami (pendakwaan) dan peguam telah berhujah berkenaan isu-isu penting bagi rayuan ini, oleh itu kami serahkan kepada kebijaksanaan panel hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan,” katanya yang juga Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 12 Disember, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk meneliti semula rayuan terhadap pembebasan bekas Menteri Belia dan Sukan itu selepas pihak-pihak selesai berhujah.

Dalam keadaan yang jarang berlaku, Datuk Abu Bakar berkata pihak pendakwaan perlu berbincang dan menyatakan pendirian sama ada mahu meneruskan rayuan itu atau sebaliknya.

Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, 33 tahun, selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta ($3.3 juta), yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Nov 2023.

Sehari selepas itu, AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan, Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta pada 6 Mac 2020.

Beliau turut berdepan tuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan dengan lima tahun, sebatan dan denda.

Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

“Kami (pendakwaan) dan peguam telah berhujah berkenaan isu-isu penting bagi rayuan ini, oleh itu kami serahkan kepada kebijaksanaan panel hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan.”
Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Timbalan Pendakwa Raya.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg