PETALING JAYA: Bekas Menteri Malaysia, Encik Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung dakwaan kes khalwat.

Encik Nik Nazmi, yang memimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), berkata beliau berada di sebuah kediaman di Petaling Jaya pada 15 Oktober bersama seorang wanita selepas mereka memutuskan untuk meneruskan perbincangan mengenai satu projek di situ.

“Kami pada awalnya memulakan perbincangan bersama rakan-rakan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur, sebelum berpindah ke Petaling Jaya untuk melihat beberapa bahan berkaitan projek.

“Semasa pegawai Jais tiba, hanya saya dan wanita berkenaan berada di situ. Saya mengakui bahawa ini adalah satu kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada 17 Oktober.

“Seperti yang saya jelaskan kepada para pegawai (Jais), kami tidak melakukan sebarang perbuatan tidak elok yang boleh menimbulkan syak wasangka,” tambahnya.

Encik Nik Nazmi turut memohon maaf kepada isterinya, keluarga kedua-dua belah pihak dan pihak lain yang terjejas disebabkan apa yang disifatkannya sebagai “kesilapan dalam pertimbangan”.

Beliau juga memohon maaf kepada Bersama sambil mengakui telah mengecewakan anggota dan penyokong parti, selain bersedia menerima sebarang keputusan yang bakal ditetapkan oleh parti itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Encik Nik Nazmi menambah beliau akan memberikan kerjasama penuh dalam semua prosiding undang-undang dan menggesa semua pihak agar menghormati proses undang-undang serta tidak memanjangkan isu berkenaan menerusi media.

Menurut satu laporan, seorang ahli politik berumur 44 tahun telah ditahan pada kira-kira 6 petang 15 Oktober.

Pasukan penguat kuasa Jais seramai lima anggota telah memasuki kediaman tersebut dan menemui ahli politik berkenaan bersama wanita itu, menurut satu sumber.

Kedua-dua mereka kemudian dibawa ke pejabat Jais di Shah Alam bagi tujuan dokumentasi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti