Topik diikuti
Pergi ke BHkuBekas pegawai khas Najib konspirasi dengan Datuk, ‘tekan’ guru agama bayar RM400,000
Bekas pegawai khas Najib konspirasi dengan Datuk, ‘tekan’ guru agama bayar RM400,000
KUALA LUMPUR: Mantan pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Encik Najib Tun Razak, dan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, berkonspirasi untuk menekan seorang pendakwah bebas supaya membayar RM400,000 ($97,122) melalui ugutan serta hantaran berunsur fitnah di media sosial.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar di Kedah, Datuk Mohd Aimi Zaini Mohd Azhar, berkata Muhammad Mukhlis Maghribi dan Datuk Zamil Ibrahim bertindak secara bersama untuk mendapatkan wang daripada Ustaz Ahmad Husam Muhamad Baderudin, yang sebelum ini mengendalikan kelas agama untuk Encik Najib di Penjara Kajang, Selangor.
Dalam alasan penghakiman setebal 39 muka surat itu, Datuk Mohd Aimi, berkata konspirasi berjaya dibuktikan melalui rakaman audio, pengakuan ketika pemeriksaan balas serta turutan peristiwa, susulan keengganan pendakwah terbabit membuat bayaran.
“Keterangan itu apabila diambil secara terkumpul, adalah bukti langsung wujudnya persepakatan antara defendan pertama dan kedua, dan bukannya andaian semata-mata.
“Ia menunjukkan kedua-dua defendan bertindak sebagai ‘pengarah’ bagi skim yang sama, dengan objektif bersama mendapatkan RM400,000 daripada plaintif (Ustaz Ahmad Husam),” katanya.
Datuk Mohd Aimi membenarkan keseluruhan tuntutan Ustaz Ahmad Husam dalam saman difailkan terhadap kedua-dua individu berkenaan, berkaitan dakwaan ugutan dan fitnah, pada 26 Ogos lalu.
Bagaimanapun penghakiman bertulis diterbitkan Jabatan Kehakiman pada 23 November. Peguam mewakili Ustaz Ahmad Husam, Encik Muhammad Asyraf Abd Aziz, mengesahkan perkara itu.
Pada 14 Disember 2023, Ustaz Ahmad Husam memfailkan saman terhadap Muhammad Mukhlis dan Zamil, selepas notis tuntutan dikeluarkan pada 13 November 2023 tidak mendapat respon daripada individu berkaitan.
Plaintif menegaskan, kenyataan fitnah diterbitkan defendan adalah berniat jahat bagi memberi kesan serta gambaran amat buruk kepada orang ramai bahawa beliau seorang penunggang agama yang tidak amanah, penipu dan tidak boleh dipercayai.
Sementara itu, Datuk Mohd Aimi berkata niat defendan untuk memudaratkan plaintif jelas kelihatan berdasarkan turutan peristiwa, selepas beliau enggan membuat pembayaran itu.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi RM433,000 selepas mendapati mereka bertanggungjawab atas konspirasi untuk memudaratkan dan memfitnah.
Menurut penghakiman itu, pertikaian bermula pada Mei 2023 apabila Muhammad Mukhlis memaklumkan kepada Ustaz Ahmad Husam bahawa Encik Najib kononnya mahu menyambung semula kelas agama bersamanya di Penjara Kajang.
Muhammad Mukhlis kemudian mendakwa pendakwah itu tidak boleh mendapatkan kebenaran mengajar kerana didakwa sedang disiasat berhubung kes pecah amanah jenayah, penipuan dan pengubahan wang haram.
Beliau mendakwa, dua pegawai polis dari Bukit Aman bersedia menyelesaikan siasatan yang didakwa itu dengan bayaran RM400,000.
Walaupun Ustaz Ahmad Husam enggan membayar, Muhammad Mukhlis kemudian mendakwa beliau menyelesaikan jumlah berkenaan menggunakan wang ‘kononnya dipinjam daripada adik Najib’ sebelum menuntut bayaran balik daripada Ustaz Ahmad Husam.
Mahkamah menerima rakaman audio memaparkan Muhammad Mukhlis merujuk kepada tuntutan RM400,000 dan mengugut bahawa akaun bank milik isteri serta anak-anak plaintif itu boleh dibekukan.
“Penggunaan cara yang menyalahi undang-undang juga terbukti melalui naratif siasatan pengubahan wang haram yang direka-reka, ugutan untuk membekukan akaun bank ahli keluarga plaintif, laporan polis serta penerbitan berunsur fitnah,” kata Datuk Mohd Aimi.