PUTRAJAYA: Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) didakwa mengamalkan sistem perhambaan dalam menjalankan operasi kumpulan perniagaan dikatakan bermotif keagamaan itu.
Ia berikutan setiap ahli GISBH dipaksa mencari dana untuk memenuhkan tabung jemaah atau syarikat, walaupun perlu bekerja sepenuh masa tanpa dibayar gaji.
Mendedahkan demikian, individu dipercayai bekas ahli GISBH mendakwa ada kalanya anggota organisasi terpaksa meminta bantuan ahli keluarga yang bukan dalam kalangan jemaah atau syarikat.
Menerusi catatan di Facebook, lelaki yang hanya dikenali sebagai Raja Suhaimi mendakwa keadaan itu berlaku apabila sangat sedikit perniagaan kendalian GISBH yang menjadi ekonomi komersial dan dapat menjana kewangan jemaah atau syarikat.
Beliau berkata ramai ahli GISBH dizalimi dalam sistem yang lebih kepada perhambaan dengan orang atasan menjalani kehidupan dengan rumah dan kereta mewah, manakala orang bawahan mahu berjumpa pasangan pun perlu tunggu giliran dan diaturkan.
“(Mereka) wujudkan banyak rumah dan badan amal kebajikan yang juga antara kaedah mendapatkan pendapatan yang banyak daripada masyarakat awam.
“GISBH mengamalkan sistem ‘ma’ash’ (keperluan), gantikan sistem pendapatan dengan pekerja perlu kerja sepanjang hari dan membuat pelbagai pekerjaan, kerja lebih masa atau dihantar ke luar negara, namun tidak diberi gaji dalam bentuk wang.
“Mereka diberi makan, minum dan tempat tidur, selain perkahwinan diuruskan sesama ahli,” dedahnya, lapor Berita Harian Malaysia.
Raja Suhaimi berkata projek perniagaan adalah tugasan ahli setiap zon dan negeri dengan kebanyakannya dipanggil ekonomi strategi, bertujuan mempamerkan kehebatan jemaah pada pandangan masyarakat.
“Malah, majlis khas bertujuan mengutip dana daripada ahli mengikut zon dan negeri setiap bulan, dengan jemaah yang bekerja di luar akan memberi dana dalam jumlah lebih besar,” katanya.
Mengenai pemilihan kepimpinan, Raja Suhaimi mendakwa pemimpin GISBH kononnya dilantik Rasulullah saw, Imam Mahadi dan guru mursyid daripada alam ghaib dengan amalan itu dikatakan sebagai model sistem pentadbiran organisasi terbabit.
Katanya, kepimpinan disusun mirip organisasi syarikat biasa, dipercayai bagi mengaburi pihak berkuasa, selain pemilihan pemimpin dibuat melalui tahap ketakwaan paling tinggi di zamannya.
Beliau juga mendakwa pemimpin terbabit dikatakan layak menjadi wasilah untuk doa dan tawassul iaitu perihal mengenai Allah dengan mengamalkan ibadat khusus mahupun umum, dalam kalangan ahli untuk menyebut nama individu terbabit.
“GISBH membuat sistem dalam sistem, iaitu mewujudkan sistem kehidupan sendiri, berlawanan dengan arus perdana diamalkan di negara ini. Segala arahan pemimpin, wajib ditaati.
“Mereka sering mendakwa dapat berhubung dengan Rasulullah dalam bentuk yaqazah (dalam keadaan sedar). Ada arahan tertentu, kononnya dari Rasulullah dan Imam Mahadi, termasuk rombakan Kabinet bayangan daulah,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg