KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelakon yang diminta hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada 22 Mei, berhubung kes memuat naik sijil nikah palsu dengan seorang putera raja di media sosial, dikenakan waran tangkap.
Hakim Norma Ismail mengeluarkan waran itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Muhammad Amir Haniff Ahijman terhadap Persana Avril Sollunda, 43 tahun, yang beralamat di Kota Kinabalu, Sabah.
Wanita itu sepatutnya didakwa dengan pertuduhan memulakan komunikasi palsu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, namun pertuduhan tidak dibaca kerana dia tidak hadir ke mahkamah.
Semasa prosiding, Encik Muhammad Amir berkata berdasarkan maklumat pegawai penyiasat, bekas pelakon dan model sambilan itu tiada di mahkamah bagi mendengar pertuduhan dibacakan pada jam 9 pagi.
“Sedangkan saman terhadap wanita terbabit diserahkan sendiri pada 29 April lalu,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, mahkamah menetapkan 19 Jun depan untuk sebutan waran tangkap.
Pada Mac lalu, dia ditahan untuk disoal siasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu tetapi dibebaskan dengan jaminan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg