KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa usahanya menangguhkan saman di mahkamah terhadapnya tidak sekali-kali bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi daripada undang-undang.
Sebaliknya, Datuk Anwar berkata permohonannya ke Mahkamah Tinggi membabitkan integriti Perlembagaan Persekutuan dan keperluan untuk memastikan sesiapa yang memegang jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi (proses pembicaraan undang-undang di mahkamah) bermotifkan politik.
“Perkara ini tidak pernah mengenai mencari imuniti peribadi atau melarikan diri daripada pemeriksaan undang-undang.
“Ia membabitkan integriti sistem Perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam yang tinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin mengikut masa yang strategik, bermotifkan politik, atau mengganggu institusi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, lapor Malaysiakini.
Datuk Anwar berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Jun menolak permohonannya untuk menangguh saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya, Encik Muhammed Yusoff Rawther.
Encik Muhammed Yusoff memfailkan tindakan sivil pada 2021 atas dakwaan bahawa Datuk Anwar telah melakukan serangan seksual terhadapnya di Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Oktober 2018.
Berikutan itu, Datuk Anwar memohon merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada perdana menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman, berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau sebagai perdana menteri.
Hakim Roz Mawar Rozain berkata lapan persoalan Perlembagaan yang cuba dirujuk Datuk Anwar kepada Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi ambang kontroversi yang diperlukan.
“Daripada perspektif kehakiman, soalan yang dicadangkan nampaknya tidak memenuhi ambang kontroversi Perlembagaan yang tulen… Apa yang jelas ialah tidak semua soalan menyentuh kualiti Perlembagaan untuk rujukan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Mahkamah ini mesti berpuas hati bahawa persoalan Perlembagaan adalah tulen dan penting kepada penyelesaian kes ini kerana Mahkamah Persekutuan bukan forum untuk pandangan nasihat spekulatif atau defensif,” terangnya.
Justeru, mahkamah memerintahkan perbicaraan diteruskan seperti yang dijadual pada 16 Jun.
Menyentuh mengenai keputusan itu, Datuk Anwar berkata beliau kekal komited kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan tadbir urus demokrasi.
“Proses undang-undang akan diteruskan dan saya akan terus melaksanakan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” tambah Ahli Parlimen (AP) Tambun itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg