Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah tolak permohonan Anwar rujuk persoalan sama ada PM kebal daripada saman

Jun 4, 2025 | 4:28 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto PEJABAT PERDANA MENTERI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Jun menolak permohonan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Datuk Anwar memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan, menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikan beliau.

Rujukan persoalan undang-undang itu adalah berkaitan saman sivil yang difailkan bekas penyelidik Datuk Anwar, Encik Muhammed Yusoff Rawther, lapor portal Buletin TV3.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak permohonan Datuk Anwar selepas mendapati persoalan yang diajukan itu tidak memenuhi ambang kontroversi yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Hakim Roz Mawar kemudian menetapkan perbicaraan saman Encik Muhammed Yusoff, yang dijadual bermula 16 Jun, diteruskan.

Dalam permohonan yang difailkan firma guamannya pada 23 Mei, Datuk Anwar meminta mahkamah memutuskan sama ada saman itu akan menjejas keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.

Beliau juga mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada prosiding saman itu akan melanggar hak beliau untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan, terutamanya kerana beliau mendakwa saman itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Datuk Anwar memohon supaya Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.

Perkara itu membabitkan kuasa eksekutif tertinggi, hubungan kuasa antara Raja dengan Kabinet dan pelantikan serta tanggungjawab Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

Dalam afidavit sokongannya, Datuk Anwar menegaskan permohonan itu dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan mengikut lunas perlembagaan.

Beliau memohon supaya mahkamah menimbangkan sama ada saman terbabit menjejas keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan.

Datuk Anwar turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi perlu menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada saman itu adalah penyalahgunaan proses atau suatu ancaman kepada kepentingan awam.

Sekiranya benar, mahkamah perlu memutuskan sama ada saman itu wajar digantung atau dibatalkan demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan.

Untuk rekod, Encik Muhammed Yusoff, memfailkan saman terhadap Datuk Anwar pada 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Segambut, Kuala Lumpur, pada Oktober 2018.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg