Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekas timbalan menteri M’sia saman NGO fitnah dirinya, suami terbabit kes pemerdagangan manusia

Sep 13, 2024 | 3:44 PM
Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Datuk Dr Mashitah Ibrahim - Foto BH ONLINE

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, mengemukakan saman fitnah terhadap sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dua yang lain berhubung dakwaan mengaitkan beliau dengan aktiviti pemerdagangan manusia di Myanmar.

Bekas Ahli Parlimen (AP) Baling itu yang bertindak selaku plaintif menamakan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO); Pengerusinya merangkap Setiausaha Agung, Datuk Hishamuddin Hashim; dan Ahli Jawatankuasa, Encik Azirul Syafiq Sazali sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Beliau yang memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 September, menuntut defendan memohon maaf, membayar ganti rugi antaranya ganti rugi am, teruk dan teladan serta memohon injunksi supaya mereka memadamkan kenyataan dan klip video didakwa memfitnahnya dalam masa tujuh hari.

Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mashitah berkata pada 28 Ogos lalu, MHO memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan satu klip video kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan yang mengandungi pernyataan fitnah terhadapnya.

Beliau berkata klip kenyataan media itu berserta kapsyen ‘Sidang Media Berkaitan Aduan Penglibatan Ahli Politik Malaysia Di Dalam Sindiket Pemerdagangan Manusia Berpusat Di Myanmar’ melalui satu pos Facebook milik MHO di bawah akaun dikenali sebagai ‘Hishamuddin Hashim’.

Plaintif berkata pada tarikh sama, Encik Azirul Syafiq juga memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan klip video sama melalui satu pos Facebook miliknya.

Beliau berkata pada keesokannya, Datuk Hishamuddin memuat naik, menyiarkan, menerbitkan dan menyebarkan suntingan klip video bertarikh itu dengan kapsyen ‘sidang media berkenaan penglibatan bekas Timbalan Menteri dengan syarikat Dongmei Group yang merupakan antara sindiket pemerdagangan manusia & scam paling besar di Myawaddy Myanmar’.

“Melalui klip video itu, MHO dan Hishamuddin menunjukkan beberapa keping gambar saya yang dikaburkan ketika kenyataan media oleh ketiga-tiga defendan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.

Pada 7 September lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tiada bukti mengaitkan Dr Mashitah dan suami terbabit kegiatan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, selepas pemeriksaan polis mendapati tiada pelaburan dibuat beberapa individu termasuk Dr Mashitah di luar negara yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg