KUALA LUMPUR: Polis Malaysia sedang menjejak seorang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar, yang turut mengaitkan pembabitan seorang ahli politik dan suaminya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata setakat ini polis sudah mengambil keterangan daripada tiga individu, termasuk ahli politik itu dan suaminya.
“Kita sedang kesan seorang lagi individu untuk dirakam percakapan, selain turut memanggil tiga penulis artikel dalam kes itu,” katanya, sambil menambah bahawa kes itu disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, lapor Astro Awani.
Pada 28 Ogos, media melaporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat aktif menjadi dalang sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, dilaporkan berkata wanita itu bersama suaminya turut memegang jawatan penting selaku pengerusi keselamatan sebuah syarikat dan difahamkan terbabit pada awal 2020.
Baru-baru ini, tular menerusi YouTube sebuah video pembongkaran sindiket di Myanmar itu yang diterbitkan di Indonesia, kerana ramai rakyat Indonesia menjadi mangsa sindiket tersebut. Video itu mendakwa sindiket terbabit secara terang-terangan terlibat dalam kegiatan jenayah pemerdagangan manusia, termasuk melakukan paksaan, penyeksaan, penjualan organ manusia dan pembunuhan.
Tan Sri Razarudin berkata pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan ahli politik terbabit dan suaminya pada Julai, selepas artikel pertama berhubung kes berkenaan dilaporkan di Myanmar.
“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan. Kita juga akan mendapatkan artikel yang dikeluarkan negara berkenaan dan mencari saksi yang terbabit,” katanya.
Sementara itu, mantan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, tampil menafikan dakwaan beliau terbabit dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar dan mendakwa maklumat berkenaan adalah fitnah jahat terhadapnya.
“Baru-baru ini tular isu yang mengaitkan saya dengan fitnah saya terlibat bunuh orang, dagang orang, jual organ. Tuduhan ini sangat berat dan mengelirukan ramai dan menimbulkan keresahan.
“Saya telah membuat laporan polis berkaitan tuduhan liar beberapa pihak, seperti MHO, yang mengaitkan saya dengan aktiviti pemerdagangan manusia di Myanmar. Saya menafikan pelibatan dengan aktiviti tersebut,” katanya di Facebook.
Datuk Mashitah, yang juga terkenal sebagai pendakwah, berkata beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memfitnah dan menjatuhkan reputasinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg