KUALA LUMPUR: Seramai 73 individu termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) dan 22 kanak-kanak berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dieksploitasi menjadi buruh paksa.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Penolong Pesuruhjaya Fadil Marsus, berkata kesemua mangsa diselamatkan dalam 33 serbuan Op Mega Pintas pada 12 Jun lalu, yang dilancarkan serentak di seluruh negara.
Menurutnya mangsa terdiri daripada 25 lelaki dan 26 perempuan, selain 22 kanak-kanak rakyat tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand.
“Pada masa yang sama kita turut menahan 113 individu yang merupakan warga tempatan, Thailand, India, Bangladesh, Indonesia dan China yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu,” katanya lapor Astro Awani.
Encik Fadil berkata siasatan ke atas mereka dijalankan di bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Beliau memberitahu, operasi kali ini dilakukan secara meluas tanpa hanya tertumpu kepada sektor perkilangan.
“Kali ini kami turut memfokuskan kepada sindiket pengemis, buruh paksa, scammer (penipuan), agensi pembantu rumah, perladangan dan perkhidmatan seperti perhotelan, restoran, kedai cuci kereta, kedai gunting rambut dan kedai emas.
“Tanpa disedari mereka (mangsa) pun tak faham apa yang dimaksudkan dengan buruh paksa. Jadi mereka (mangsa) diperdaya ke Malaysia sehingga akhirnya dijadikan mangsa pemerdagangan manusia tanpa disedari, banyak modus operandi yang digunakan.
“Ada yang dijanjikan dengan pekerjaan lain, tapi bila sampai di Malaysia, dieksplotasi untuk kerja lain. Selain itu juga dikesan ada penglibatan agensi pekerjaan yang bermula di negara mangsa dengan sejumlah bayaran yang ditetapkan kononnya menawarkan pekerjaan secara sah,” ujarnya.
Dalam pada itu Encik Fadil menjelaskan terdapat beberapa penunjuk jenayah pemerdagangan manusia yang tidak disedari mangsa.
“Buruh paksa adalah penganiayaan golongan rentan, wujud penipuan, penghambaan hutang, keganasan fizikal dan seksual, ancaman dan ugutan, pengasingan, penahanan dokumen pengenalan diri oleh majikan, penahanan gaji, dipaksa kerja lebih masa, sekatan pergerakan serta tidak menyediakan tempatan kerja dan tempat tinggal yang kondusif,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg