Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Belanjawan Johor 2026 angkat pendidikan ke tahap tertinggi

Pastikan murid dan mahasiswa tidak tercicir
Nov 20, 2025 | 4:27 PM
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin (kanan), ketika melawat pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin (kanan), ketika melawat pelajar Sekolah Rintis Bangsa Johor. - Foto FACEBOOK AZNAN TAMIN

Kerajaan Johor menegaskan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan pendidikan apabila memperuntukkan RM163 juta ($51 juta) khusus bagi sektor itu dalam Belanjawan Johor 2026, sekali gus menjadikannya peruntukan pendidikan terbesar dalam sejarah negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Encik Aznan Tamin, berkata keutamaan itu menggambarkan kesungguhan kerajaan memastikan setiap anak Johor, tanpa mengira latar belakang, lokasi atau status ekonomi keluarga, mendapat akses pendidikan yang selamat, bermutu dan menyeluruh.

“Peruntukan besar ini membuktikan pendidikan bukan sekadar sektor sokongan, tetapi tulang belakang kemajuan negeri.

“Daripada keseluruhan belanjawan RM2.5 bilion, sebahagian kewangan yang penting disalurkan kepada program yang memberi manfaat langsung kepada murid, guru, mahasiswa serta keluarga di seluruh Johor.

“Keprihatinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, terhadap aspek keselamatan dan mutu pendidikan menjadi dorongan utama kepada kerajaan untuk menggandakan usaha menyediakan persekitaran sekolah yang lebih selamat, berdisiplin dan membina,” katanya dalam satu kenyataan pada 20 November.

Antara inisiatif terbesar di bawah belanjawan ini ialah Program Back To School dengan peruntukan RM28.8 juta. Melalui program tersebut, seramai 189,000 murid daripada keluarga B40 dan asnaf, bersamaan 2,000 murid di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), akan menerima bantuan pakaian sekolah.

Menurut Encik Aznan, bantuan ini bukan sekadar meringankan beban ibu bapa menjelang sesi persekolahan baru, tetapi mengembalikan keyakinan murid untuk belajar dalam keadaan lebih selesa dan bersemangat.

“Selain itu, kerajaan juga memberi perhatian besar kepada mahasiswa Johor yang menuntut di seluruh negara. Bantuan tiket penerbangan bagi mahasiswa di Sabah dan Sarawak serta penyediaan bas percuma untuk mahasiswa pusat pengajian tinggi awam (IPTA) di Semenanjung semasa musim perayaan bakal memberi kelegaan besar kepada ribuan keluarga.

“Dengan peruntukan RM1.4 juta, mahasiswa dibantu pulang ke pangkuan keluarga ketika Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali, tanpa terbeban oleh kos perjalanan yang semakin meningkat,” jelasnya.

Beliau berkata portfolio penerangan turut diperkukuh bagi memastikan segala maklumat penting dapat disampaikan secara cepat, tepat dan telus kepada rakyat.

“Sebanyak RM174.8 juta diperuntukkan untuk 35 inisiatif berkaitan pendidikan, penerangan awam dan pembangunan modal insan, merangkumi manfaat kepada guru, belia, pengamal media dan petugas barisan hadapan sekolah.

“Pendekatan ini bersifat menyeluruh; daripada murid hingga ke mahasiswa, daripada guru hingga ke masyarakat. Kita mahu memastikan tiada anak Johor tercicir daripada arus kemajuan,” katanya.

Menurut beliau, setiap ringgit yang dilaburkan dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk membina masa depan negeri yang lebih makmur, berdaya maju dan berdaya saing.

“Dengan sokongan rakyat serta kerjasama semua pihak, inisiatif pendidikan di bawah Belanjawan Johor 2026 diyakini akan memberi perubahan besar kepada landskap pendidikan negeri.

“Belanjawan ini adalah bukti pendidikan bukan retorik. Ia adalah amanah besar dan modal masa depan Johor,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg