Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor bentang Belanjawan 2026 berjumlah RM2.55b

Tumpu kesejahteraan rakyat dan pembangunan menyeluruh
Nov 13, 2025 | 3:40 PM
Johor, Belanjawan, Onn Hafiz Ghazi
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah), menunjukkan teks ucapan Belanjawan Johor 2026 di lobi Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar. - Foto PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Kerajaan Johor telah membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.55 bilion ($802 juta) dengan lebihan sebanyak RM4.45 juta.

Ia sekali gus meneruskan komitmen bagi memastikan setiap hasil negeri dipulangkan kepada rakyat melalui 260 inisiatif merangkumi enam teras pembangunan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika mengemukakan pembentangan itu di Dewan Negeri Johor pada 13 November, berkata belanjawan bertema, ‘Bangsa Johor Sejahtera’ itu digubal bagi menjamin kebajikan rakyat melalui rangka tindakan yang lebih tersusun dan menyeluruh.

Beliau memaklumkan bahawa Johor terus mencatat prestasi ekonomi cemerlang sepanjang tiga tahun enam bulan, dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM218 bilion.

Lebih 64,000 peluang pekerjaan diwujudkan dan kadar pengangguran kekal rendah pada 2.3 peratus.

“Pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negeri sebanyak 6.4 peratus menjadikan Johor negeri paling pesat berkembang di Malaysia.

“Hasil negeri juga dijangka mencecah RM2.5 bilion pada 2025, jauh mengatasi unjuran Belanjawan 2025, manakala kutipan zakat, hasil pihak berkuasa tempatan dan keuntungan syarikat berkaitan kerajaan turut menunjukkan peningkatan ketara,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 35 inisiatif dilaksana bagi memperkukuh urus tadbir negeri, termasuk Program Jelajah Orang Johor di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), kenaikan elaun ketua kampung dan batin Orang Asli.

“Kerajaan turut menambah peruntukan untuk pengukuhan syiar Islam seperti Semarak Subuh Johor, kenaikan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), bantuan pengurusan tahfiz dan sumbangan sekali sahaja bilik guru melibatkan lebih 54,000 pendidik di seluruh negeri.

“Antara langkah struktur utama ialah penubuhan Majlis AI Johor bagi memacu negeri sebagai Hab Kecerdasan Buatan dan Data Serantau menjelang 2030,” katanya.

Kerajaan Johor turut memperkenalkan, Johor Global Investment Quest, dengan peruntukan RM5 juta bagi misi perdagangan dan menarik pelaburan berimpak tinggi.

Johor Economic Forum (Forum Ekonomi Johor) dan jenama Made in Johor (Buatan Johor) turut dilaksana untuk memperkukuh kedudukan negeri sebagai pusat perdagangan rantau ini.

“Sektor pelancongan turut dipacu menjelang Tahun Melawat Johor 2026 melalui peruntukan RM5.55 juta untuk promosi, RM6 juta bagi acara antarabangsa, serta menaik taraf taman ekorimba dan taman negara,” katanya.

Ekosistem halal diperkukuh melalui pembentukan, Johor Halal Development Corporation, halal green lane, serta pensijilan halal kepada 500 pengusaha Muslim.

“Program Infak Jumaat Johor, yang diilhamkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, diperluas dengan peruntukan RM26.9 juta,” tambahnya.

Program perumahan rakyat turut diperkasa melalui pembinaan 8,915 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), subsidi bina rumah, baik pulih rumah daif, penyelenggaraan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) serta bantuan sewa dan pembelian rumah pertama.

Sebanyak 29 inisiatif dilaksana termasuk penyelenggaraan jalan sepanjang lebih 26,000 kilometer melalui peruntukan RM655 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris), menaik taraf jalan kampung dan jalan utama, serta pembinaan dan baik pulih jambatan.

Sebanyak 21 inisiatif digerakkan bagi mengurangkan risiko bencana, termasuk menaik taraf sistem perparitan dan kolam takungan di kawasan panas (hotspot) banjir, pelaksanaan rancangan tebatan banjir, kerja pengawalan hakisan pantai, serta penggalian muara sungai.

Bagi kelestarian alam, pembangunan Pusat Pembelajaran Raja Zarith Sofiah, Transformasi Sungai Johor, dan Program Johor Bersih dilaksana sebagai usaha jangka panjang untuk memulihara biodiversiti dan habitat hidupan liar termasuk harimau di Taman Negara Endau-Rompin.

Pada akhir pembentangan, Datuk Onn Hafiz, menegaskan bahawa Belanjawan Johor 2026 adalah manifestasi iltizam kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan negeri seiring dengan peningkatan kesejahteraan rakyat.

“Setiap ringgit adalah amanah. Setiap sen mesti dipulangkan kepada rakyat. Dengan sifat takwa, Johor akan terus dilimpahkan keberkatan dan rezeki daripada Allah,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg